PENGENDALI pengangkutan milik Temasek, SMRT Corp, akan menggabungkan perniagaan teksinya dengan Premier Taxis yang baru dijual untuk membentuk pengendali teksi kedua terbesar di Singapura dengan armada sekitar 2,500 teksi.
Premier, yang pernah dimiliki oleh keturunan keluarga Chua yang memulakan pengedaran Mercedes-Benz Cycle & Carriage lebih 100 tahun lalu, telah dijual kepada kumpulan perdagangan kenderaan Carros Project Management pada Ogos 2022 untuk jumlah yang tidak didedahkan.
Carros merupakan sebahagian daripada pemaju hartanah, BS Capital, lapor The Straits Times.
SMRT, yang dilaporkan pernah berbincang untuk menjual perniagaan teksinya kepada firma pengangkutan Grab pada 2017, mempunyai 1,537 teksi pada akhir Februari.
Perniagaan teksi dan sewa persendiriannya kini beroperasi di bawah jenama Strides. Premier pula mempunyai 965 teksi pada akhir Februari.
ComfortDelGro, pengendali teksi terbesar Singapura, mempunyai 8,741 teksi. Manakala Trans-Cab 2,171 teksi.
Dalam satu pengumuman pada Khamis, SMRT berkata Strides Taxi dan Strides Automotive Services akan digabungkan dengan Premier Taxis dan Premier Automotive Services bagi mewujudkan pengendali teksi kedua terbesar Singapura "dengan kehadiran ketara dalam industri pengangkutan dari tempat ke tempat".
Sebuah syarikat usaha sama baru, Strides Premier, akan ditubuhkan, dengan Strides Holdings mempunyai pegangan majoriti dalam Strides Premier dan Premier Corp dan BS Investors - sebuah syarikat induk pelaburan hartanah - bersama memegang baki pegangan.
Encik Ang Wei Neng, ketua eksekutif Strides Premier, berkata: "Penggabungan ini merupakan peristiwa penting untuk membantu memacu kecekapan yang lebih besar dan perkhidmatan yang lebih baik untuk penyewa kenderaan kami serta pengguna akhir."
Industri teksi Singapura telah terjejas oleh firma e-panggilan pengangkutan, yang memasuki negara itu sedekad lalu.
Kini terdapat kurang 14,000 teksi di jalan raya, kurang separuh saiz armada pada 2012.
Bagi mengatasi perniagaan yang merosot itu, semua syarikat teksi di sini telah menceburi bidang kenderaan sewa persendirian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg