Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SMRT Trains didenda $240,000 atas kematian pegawai teknikal

May 6, 2025 | 3:30 PM
Muhammad Afiq Senawi, SMRT, Bishan
Pegawai teknikal SMRT Trains, Allahyarham Muhammad Afiq Senawi, meninggal dunia selepas satu batang penjarak seberat hampir tiga kilogram meluncur terbang dari mesin tekan hidraulik, hingga mengena muka beliau pada Mac 2020. - Foto ST

Syarikat pengendali pengangkutan gerak cepat, SMRT Trains, didenda $240,000 pada 5 Mei susulan satu kemalangan di Depoh Bishan pada Mac 2020 yang mengorbankan seorang pegawai teknikalnya.

Syarikat itu didapati bersalah di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA) kerana gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan keselamatan pekerjanya di depoh itu.

Semasa kejadian pada 23 Mac 2020 itu, Allahyarham Muhammad Afiq Senawi, 30 tahun, dan seorang rakan sekerjanya sedang mengendalikan satu mesin tekan hidraulik untuk menggantikan beberapa komponen berkaitan kereta api.

Allahyarham meletakkan satu komponen ke dalam mesin tersebut, dan mengaktifkan omboh (piston – logam yang dimasukkan ke dalam silinder lain) untuk menjalankan tugasan tersebut.

Bagaimanapun, beliau gagal mengeluarkan satu komponen lama yang serupa.

Akibat tekanan yang terkumpul, satu batang penjarak seberat hampir tiga kilogram meluncur terbang dari mesin itu, hingga melepasi pagar berhampiran, dan mengena muka Allahyarham.

Beliau dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng dan meninggal dunia sekitar 10.15 pagi pada hari itu, akibat kecederaan di muka dan dada.

Koroner Christopher Goh kemudian menyifatkan kematian Allahyarham Muhammad Afiq sebagai satu peristiwa malang yang tragik, lapor The Straits Times.

Antara lain, siasatan kemudian mendedahkan SMRT Trains gagal memasang alat pengukur tekanan bagi mesin tekan hidraulik itu, selepas membukanya untuk diperbaiki.

Pada 5 Mei, pegawai pendakwa Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Cik Kimberly Boo, memberitahu mahkamah bahawa batang penjarak tersebut tidak diikat pada mana-mana komponen lain, sambil menambah:

“Oleh itu, terdapat bahaya batang penjarak ini tercabut daripada kedudukannya dan meluncur terbang semasa operasi.”

Beliau juga berkata bahawa rekod kerja penyenggaraan bertarikh 11 Jun 2018, menyatakan bahawa pengukur tekanan hidraulik itu telah rosak.

Akibatnya, tiada bacaan tekanan yang tersedia bagi mesin tekan hidraulik itu semasa ia beroperasi.

Kerosakan tersebut telah dilaporkan kepada seorang pengurus penyelenggaraan kejuruteraan, yang kemudian mengarahkan supaya pengukur tekanan bagi mesin itu dibuka.

Bagaimanapun, pengukur tekanan bagi mesin itu tidak dipasang semula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg