Sokongan Belanjawan 2020: Isi rumah S'pura terima purata $2,000 kurangi kesan pandemik
Sokongan Belanjawan 2020: Isi rumah S'pura terima purata $2,000 kurangi kesan pandemik
SETIAP anggota dalam isi rumah warga Singapura telah menerima purata $2,000 seorang bagi sokongan Covid-19.
Daripada jumlah wang tersebut, sekitar 70 peratus adalah daripada Pakej Penjagaan dan Sokongan, kata Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (11 Feb).
Rata-rata, setiap isi rumah menerima sekitar $4,000 dari skim seperti Pakej Penjagaan dan Sokongan, yang sebahagian besarnya diberi dalam bentuk pemindahan wang tunai.
Isi rumah yang kurang berkemampuan - yang anggotanya mengalami kehilangan pekerjaan atau pendapatan, atau bekerja sendiri - rata-rata menerima tambahan $5,100.
Tahun lalu, pemerintah membelanjakan $10 bilion bagi skim bantuan dan pemindahan wang tunai, lebih-lebih lagi bagi isi rumah berpendapatan rendah yang terjejas lebih teruk oleh pandemik ini, kata MOF.
Ini termasuk dana di bawah skim seperti Dana Bantuan Sementara (TRF), Geran Bantuan Covid-19 (CSG) dan Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (Sirs), yang telah membantu lebih dari 500,000 orang.
Isi rumah warga Singapura yang merupakan 20 peratus terendah dari segi pendapatan telah menerima sekitar $2,500 bagi setiap anggota, sementara 20 peratus berikutnya menerima $2,800 setiap seorang.
MOF berkata 20 peratus terbawah menerima kurang sedikit kerana sebahagian besar mereka merupakan isi rumah dengan pesara. Oleh yang demikian mereka tidak memenuhi syarat bagi beberapa skim yang diadakan bagi individu yang kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan. - The Straits Times

