Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan peringkat awal pembentukan keluarga akan diberi

Indranee: Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) S'pura cecah rekod terendah dalam sejarah pada 2022
Feb 25, 2023 | 5:30 AM
PERTINGKAT SOKONGAN: Pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan pada peringkat awal pembentukan keluarga dalam beberapa bidang seperti yang diumumkan sebelum ini semasa ucapan Belanjawan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. - Foto fail
PERTINGKAT SOKONGAN: Pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan pada peringkat awal pembentukan keluarga dalam beberapa bidang seperti yang diumumkan sebelum ini semasa ucapan Belanjawan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. - Foto fail -

WALAUPUN kadar kesuburan keseluruhan (TFR) Singapura mencecah paras terendah dalam sejarah iaitu 1.05 pada 2022 - dengan lebih ramai menangguhkan perkahwinan dan masa keibubapaan atau mempunyai kurang anak - pemerintah akan menyokong mereka yang mempunyai aspirasi untuk berkahwin dan merealisasikan impian menjadi ibu bapa , kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, pada Jumaat.

"Ini sebahagiannya disebabkan tahun Harimau menurut kalendar lunar, yang biasanya dikaitkan dengan kelahiran lebih rendah dalam kalangan bangsa Cina," kata beliau di Parlimen semasa perbahasan belanjawan kementerian, sambil menjelaskan penurunan TFR.

Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) yang menimbulkan persoalan mengenai trend populasi, Cik Indranee berkata TFR Singapura telah merosot selama bertahun-tahun, seperti masyarakat maju yang lain.

"Bahkan di Norway dan Finland, yang sebelumnya berjaya meningkatkan kadar kesuburan mereka, mendapati ia sukar untuk mengekalkannya," katanya.

Pada masa yang sama, Singapura berdepan pelbagai kerumitan dalam bahagian populasi, termasuk populasi yang menua dan masyarakat yang lebih pelbagai, kata Cik Indranee, yang menyelia Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), yang di bawah Kumpulan Strategi dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Berlatarbelakangkan ini, strategi populasi Singapura adalah untuk berusaha mencapai kompak sosial yang lebih kukuh dalam beberapa cara, katanya.

Pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan pada peringkat awal pembentukan keluarga dalam beberapa bidang, kata beliau, seperti yang diumumkan sebelum ini semasa ucapan Belanjawan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini termasuk keutamaan yang lebih besar untuk keluarga yang kali pertama mempunyai anak, serta pasangan suami isteri yang lebih muda, dalam permohonan flat Bina Ikut Tempahan (BTO), termasuk undi tambahan.

Langkah lain adalah meningkatkan hadiah tunai Bonus Bayi dan Geran Langkah Pertama Akaun Pembangunan Anak untuk semua kanak-kanak warga Singapura yang layak, dan had padanan bersama yang lebih tinggi dalam Akaun Pembangunan Anak untuk anak pertama dan kedua.

Cuti bapa yang dibiayai pemerintah juga akan diperluaskan kepada empat minggu, naik daripada dua buat masa ini, untuk bapa bekerja yang layak dengan anak lahir pada atau selepas 1 Januari 2024.

"Ini adalah satu langkah ke arah membiasakan dan membolehkan bapa memainkan peranan yang lebih besar dalam membesarkan anak-anak kita," kata Cik Indranee yang menggesa majikan dan rakan sekerja membantu para bapa berasa yakin untuk menggunakan cuti mereka.

Menjawab kepada pertanyaan Encik Louis Ng (GRC Nee Soon) sama ada cuti penjagaan anak boleh dinaikkan dan cuti dapat diberikan pasangan yang mendapatkan rawatan kesuburan, beliau berkata satu lagi strategi penting adalah meningkatkan penerimaan aturan kerja fleksibel (FWA), yang bukan sahaja membantu pengasuh kanak-kanak malah juga warga emas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg