PENGHUNI dan warga tua di bawah Rumah Penjagaan Ren Ci akan menerima sokongan bernilai $250,000 bagi kegiatan pemulihan mereka.

Yayasan FairPrice semalam menyumbang sebuah van yang direka bentuk khas untuk membawa penduduk yang pergerakannya terhad.

Van berharga $150,000 itu juga akan membawa pesakit berkerusi roda dan daripada keluarga berpendapatan rendah ulang-alik antara rumah mereka dan pelbagai kemudahan Ren Ci.

Yayasan itu juga berikrar akan menderma $100,000 sepanjang dua tahun untuk menyokong program pemulihan FairPrice Retail Therapy @ Ren Ci.

Diperkenal pada 2018, ia bertujuan mendorong penduduk dan warga emas menyertai kegiatan pemulihan pusat sambil mengumpul setem bagi pertukaran untuk barang runcit di Troli Penebusan FairPrice di Pusat Jagaan Warga Tua.

Sumbangan itu diumum di majlis sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Penjagaan Ren Ci @ Ang Mo Kio.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi Yayasan FairPrice, Encik Seah Kian Peng, dan Ketua Eksekutif FairPrice Group, Encik Vipul Chawla.