Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Solat Subuh ‘macam Jumaat’ bersama Alif Satar menanti pengunjung di Kampong Gelam

Feb 17, 2024 | 5:38 PM
Bazar Ramadan di Kampong Gelam pada 2023 menarik seramai 650,000 pengunjung.
Bazar Ramadan di Kampong Gelam pada 2023 menarik seramai 650,000 pengunjung. - Foto DOUBLEVSTUDIOS

Daripada sambutan istimewa ulang tahun ke-200 Masjid Sultan kepada anjuran solat Subuh berjemaah ‘macam Jumaat’ bersama Alif Satar dan Taufik Batisah.

Para pengunjung juga bakal menikmati pelbagai kegiatan menarik disediakan di Kampong Gelam pada bulan Ramadan akan datang termasuk edisi bazar yang terpanjang dan terbesar dianjur di kawasan bersejarah itu.

Susunan kegiatan dipanggil Gemilang Kampong Gelam itu akan berlangsung hampir lima minggu, iaitu 34 hari dari 2 Mac hingga 5 April yang menawarkan lebih 100 gerai makanan dan minuman serta produk runcit.

Kini dalam edisi keempatnya, bazar itu akan bermula seminggu sebelum masyarakat Muslim di sini mula berpuasa dan akan dibuka setiap hari sepanjang tempoh itu dari 2 petang hingga 11 malam.

Gerai-gerai bazar itu akan disediakan sepanjang Kandahar Street, Muscat Street dan Baghdad Street.

Gemilang Kampung Gelam dijayakan bersama pihak One Kampung Gelam (OKG), Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Masjid Sultan.

Penganjur acara Eventify dipilih sebagai penganjur bazar itu.

Menurut penganjur, bazar itu akan melibatkan sekitar 80 gerai yang menjual makanan dan minuman dan sekitar 20 gerai runcit.

Pada masa yang sama, orang ramai bakal menikmati pelbagai program susulan seperti rancangan memasak, persembahan siaran langsung artis terkemuka dari Malaysia seperti Tomok dan Alif Satar, serta penyanyi tempatan Taufik Batisah.

Encik Kamal Rouzie, pengarah jualan Eventify berkata bahawa salah satu acara menarik yang bakal disediakan adalah acara solat berjemaah secara beramai di Masjid Sultan yang dikenali sebagai “Geng Subuh macam Jumaat,” bersama Alif Satar pada 16 Mac.

Secara keseluruhan, pihak OKG jangkakan bilangan pengunjung seramai 700,000 orang bagi edisi bazar 2024, naik daripada lebih 650,000 pelanggan pada 2023, melibatkan sekitar 90 gerai ketika itu.

“Tahun lalu, kami mempunyai pelanggan yang telah berkunjung ke bazar ini berulang kali, dan kami berharap dapat mencapai suasana seperti itu sekali lagi. Kami yakin dapat berbuat demikian,” kata pengerusi OKG, Encik Zaki Ma’arof kepada wartawan dalam satu sidang media pada 16 Februari.

Encik Kamal, berkata kesemua unit gerai runcit dan 80 peratus gerai makanan dan minuman sudah ditempah pengendali.

Gerai berbentuk trak makanan juga akan kembali termasuk jenama minuman popular seperti Broti dan penyedia hot dog ‘hipster’ Kream, antara lain.

Mengulas tentang tempoh bazar itu yang bermula seminggu sebelum Ramadan, Encik Zaki berkata beliau berharap ia akan dapat memberi manfaat kepada pengendali gerai dari segi jualan.

Bazar itu berakhir empat hari sebelum Syawal kerana pihaknya mahu kawasan Kampong Gelam berada dalam “keadaan yang terbaik” bagi pelaksanaan solat Hari Raya Aidilfitri, tambah Encik Zaki.

Ini juga supaya ruang tempat letak kereta dapat dikosongkan bagi ahli jemaah yang mahu mendirikan solat itu di kawasan itu, jelasnya.

Menambah lagi kemeriahan sambutan Ramadan di kawasan itu, Masjid Sultan juga menyambut ulang tahun ke-200 pada 2024.

Oleh itu, pancaran cahaya istimewa berunsur sejarah masjid itu akan ditayangkan di permukaan bangunan masjid itu setiap Jumaat hingga Ahad dari 7.30 malam.

Antara imej yang akan dipapar termasuk gambar arkib dari Arkib Negara yang menandakan pencapaian ketara masjid itu sepanjang sejarah 200 tahunnya sejak zaman 1800-an.

Penganjur juga bakal mengadakan satu sesi iftar di Arab Street pada 23 Mac yang menjangkakan sekitar 1,500 hadirin untuk berbuka puasa bersama-sama.

Arab Street akan ditutup bagi acara itu dan antara mereka yang bakal menghadiri acara itu termasuk penerima bantuan badan amal di sini.

Ini akan diikuti dengan pengagihan barang keperluan kepada seramai 200 hingga 300 penerima pada hari yang sama.

Orang ramai juga boleh membuat tempahan untuk menyertai acara itu selagi masih ada ruang, dan pendapatan daripada acara itu akan disalurkan ke Masjid Sultan dan golongan memerlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg