Sorakan semangat sekumpulan pelajar ketika menyokong pasukan bola sepak sekolah mereka mungkin kedengaran seperti perkara biasa.

Namun, bagi Cik Suhaila Omar, yang lebih dikenali sebagai Ayla Aireka, laungan tersebut meninggalkan kesan mendalam sehingga menjadi inspirasi di sebalik karya seninya, Demi Lambang Di Dada (Rising Through Change).

Beliau merupakan antara anggota terbaharu Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) yang mengetengahkan karya mereka dalam pameran AKAR Kontemporari 2026, sempena ulang tahun ke-64 persatuan seni tersebut.

Pameran yang berlangsung dari 18 hingga 30 Oktober di Galeri Telok Kurau Art Studios itu menampilkan 33 karya daripada 22 anggota Apad, empat pelukis perintis dan tiga pelukis undangan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Suhaila, 48 tahun, berkongsi pengalamannya sebagai guru pengganti di sebuah sekolah menengah memberinya peluang untuk mendekati pelajar dan memahami cabaran yang mereka hadapi.

Malah, beliau sering menghadiri pertandingan bola sepak dan tarian Melayu bagi memberikan sokongan kepada pelajarnya.

Namun, apabila beberapa kegiatan kokurikulum (CCA) seperti bola sepak, tarian Melayu dan sepak takraw dihentikan di sekolah tersebut, Cik Suhaila terdorong menghasilkan karya sebagai penghargaan kepada mereka.

“Karya ini merupakan satu penghormatan yang saya persembahkan agar para pelajar saya dapat terus menyimpan kenangan tentang kegiatan tersebut,” katanya.

Menerusi karya itu, Cik Suhaila menggunakan imej burung phoenix yang melambangkan ketabahan, keberanian dan semangat untuk bangkit semula.

Ia turut menampilkan motif batik serta perkataan Melayu seperti ‘kita’, ‘siapa’ dan ‘mana’ yang semakin pudar bagi menggambarkan cabaran mengekalkan identiti budaya dalam dunia moden.

“Karya yang saya hasilkan ini menampilkan budaya kita yang semakin pudar.

“Jadi, ia seperti satu perjuangan untuk mengekalkannya.

“Namun, di sebalik segala cabaran yang dihadapi, kita masih mampu bangkit,” katanya.

Karya seni, ‘Demi Lambang Di Dada’ (Rising Through Change) menggunakan imej burung phoenix yang melambangkan ketabahan, keberanian dan semangat untuk bangkit semula.
Karya seni, ‘Demi Lambang Di Dada’ (Rising Through Change) menggunakan imej burung phoenix yang melambangkan ketabahan, keberanian dan semangat untuk bangkit semula. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sebagai anggota baharu Apad, Cik Suhaila, yang juga pengasas syarikat yang menawarkan program seni untuk masyarakat, Rekanektiv Arts, berharap dapat terus belajar daripada pelukis berpengalaman dan mengembangkan bakatnya.

Majlis pembukaan pameran pada 18 Oktober turut dihadiri tetamu terhormat, Encik Abu Bakar Mohd Noor, Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Kuwait, serta Presiden Apad, Encik Noor Rahman Saini.

Encik Rahman berkata persatuan itu mahu memastikan warisan seniman Melayu terdahulu dapat diteruskan oleh generasi baharu.

“Sebelum ini kita lihat seniman Melayu kita gung ho atau bersemangat bila mereka memperjuangkan seni mereka.

“Kita memahami hari ini mungkin terdapat beberapa cabaran seperti sokongan sedia ada, kos serta ruang untuk seniman kita mempamerkan seni mereka,” katanya.

“Jadi tujuan Apad hari ini adalah untuk menawarkan ruang selamat tersebut dan menggalakkan pelukis baharu menyertai Apad dan berkongsi pelbagai cara mereka mengekspresikan karya,” tambahnya.

Encik Rahman juga berharap Apad dapat terus menjadi wadah bagi pelukis Melayu mempelajari cara menganjurkan pameran secara bersama, sebelum melangkah lebih jauh dengan menghasilkan pameran mereka sendiri pada masa depan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti