Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SP Group derma $1j sokong pembelajaran kanak-kanak

Jun 24, 2021 | 5:30 AM
PEK PEMBELAJARAN: Relawan kakitangan SP, yang juga dikenali sebagai SP Heart Workers, sedang menyiapkan barang dalam pek pembelajaran bagi kanak-kanak di bawah program SP Kids at Heart. Barang ini termasuk mainan, buku dan bahan pendidikan. - Foto SP GROUP
PEK PEMBELAJARAN: Relawan kakitangan SP, yang juga dikenali sebagai SP Heart Workers, sedang menyiapkan barang dalam pek pembelajaran bagi kanak-kanak di bawah program SP Kids at Heart. Barang ini termasuk mainan, buku dan bahan pendidikan. - Foto SP GROUP -

SEKITAR 2,000 kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah akan men erima alat elektronik seperti komputer tablet dan router internet untuk digunakan bagi mengikuti pelajaran dalam talian semasa pandemik ini.

Ini selepas SP Group mendermakan $1 juta untuk melancarkan program SP Kids at Heart baru yang bertujuan menyokong pembelajaran kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah yang mengikuti program KidSTART, kata SP Group dan KidSTART Singapore dalam kenyataan bersama semalam.

Menerusi program itu, kanak-kanak ini akan menerima barang mainan, buku dan bahan pendidikan dalam bentuk pek pembelajaran dan pembangunan selama setahun.

Mereka juga akan menerima alat elektronik seperti komputer tablet dan alat penghubung internet wayarles, atau router, bagi menyokong pembelajaran mereka di dalam talian sewaktu pandemik ini.

Di samping itu, SP Group juga akan menyediakan baucar barangan dapur dan pakej bantuan kewangan lain untuk membantu mengadakan sekitaran pembelajaran di rumah yang lebih sesuai bagi kanak-kanak itu.

Community Chest akan menguruskan derma daripada SP Group itu dan mengagihkannya kepada KidStart untuk menyokong pakej pembelajaran dan bantuan yang dijalankannya.

KidSTART Singapore, yang sebelum ini dibawah naungan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA), kini adalah sebuah syarikat terhad tanpa keuntungan.

Antara lain, ia menyediakan program pembangunan kanak-kanak serta sokongan kesihatan dan sosial kepada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun.

Dalam ucapannya di majlis maya bagi melancarkan program baru itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli Masagos Mohamad yang juga pengerusi Majlis Growing Together with KidSTART berkata, inisiatif Growing Together with KidSTART dilancarkan pada 2019 untuk membantu mendatangkan kesan lebih besar bagi keluarga menerusi kerjasama masyarakat dan pemerintah yang lebih mendalam.

"SP Group telah menunjukkan kita bagaimana pertubuhan korporat boleh memainkan peranan mereka dalam usaha bersama membina masyarakat yang terus mempunyai peluang walau di tengah-tengah pandemik, mengekalkan budaya di mana mereka yang dalam kedudukan baik memberi sumbangan untuk kebaikan masyarakat.

"Saya nantikan lebih banyak inisiatif bermakna dalam kerjasama kita," katanya.

Pengerusi SP Group, Tan Sri Hassan Marican, berkata mereka sedang meluaskan pendekatan masyarakat untuk membantu kanak-kanak, yang merupakan masa depan Singapura.

Beliau berkata program SP Kids at Heart memberi permulaan sebaik mungkin kepada kanak-kanak dalam tahun-tahun pembentukan mereka, dengan memberi akses kepada bahan pembangunan dan pendidikan yang betul.

"Ini termasuk alat digital untuk memastikan pembelajaran mereka tidak terganggu sewaktu pandemik ini.

"Untuk ibu bapa, kami mempunyai matlamat untuk melengkapi mereka dengan kemahiran insani untuk membantu mereka berhubung dengan lebih baik bersama anak-anak mereka dan menyokong mereka dalam pendidikan holistik mereka, ujar beliau.

Cik Shariffah Dayana Syed Hassan Al-Yahya, yang anaknya, Rumi, tiga tahun, mengikuti program KidStart, berkata anaknya menjadi lebih yakin dan berminat mempelajari perkara baru.

"Perkara paling penting bagi seorang ibu bapa ialah supaya anak-anak kita membesar dengan baik," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg