SP Group (SP) mengukuhkan sokongan jangka panjangnya kepada program KidSTART Singapore dengan sumbangan tambahan $1.1 juta pada 2025.
Sebagai rakan pelopor dalam daya utama Growing Together with KidSTART, SP menyumbang $3.2 juta sejak 2021.
Dengan komitmen terbaru itu, sokongan SP berjumlah $4.3 juta.
Kerjasama yang sudah lama terjalin itu akan terus memperkasakan keluarga KidSTART, menurut KidSTART dan SP Group dalam satu kenyataan bersama pada 4 Januari.
Sokongan itu seiring dengan pengembangan KidSTART ke seluruh Singapura dalam 2025.
Sumbangan tersebut diumumkan di pelancaran PowerUP Playtime oleh KidSTART dan SP Group, yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Acara di Southside@Sentosa pada 4 Januari dihadiri keluarga KidSTART.
Dalam satu hantaran Facebook pada 5 Januari, Encik Masagos melahirkan penghargaan terhadap usaha SP Group itu.
“Sumbangan anda telah menjadikan program seperti PowerUP Playtime berjaya, memberikan impak besar kepada keluarga KidSTART kami,” ujar beliau.
Encik Masagos menambah bahawa alat yang menyeronokkan dan praktikal itu bukan sahaja mengeratkan hubungan keluarga, malah membantu anak-anak berkembang dengan lebih kuat, belajar lebih cepat, dan menjadi individu lebih penyayang.
PowerUP Playtime adalah daya utama yang menggabungkan kit pembelajaran berasaskan permainan di rumah dengan penceritaan dan bengkel interaktif.
Ia bertujuan membantu ibu bapa memupuk kegembiraan dalam pembelajaran kanak-kanak berusia hingga enam tahun serta menggalak interaksi antara mereka.
Antara aspek PowerUP Playtime ialah Pek PlayFULL, sebuah kit pembelajaran yang mengandungi buku deria, mainan imaginatif, dan bahan kraf.
Ia bertujuan menyokong perkembangan kognitif, bahasa, dan kemahiran motor kanak-kanak.
Pelancaran itu menyaksikan lebih 1,200 kanak-kanak KidSTART dan keluarga mereka menerima Pek PlayFULL sambil menikmati pelbagai kegiatan, seperti bengkel berasaskan permainan, penceritaan imaginatif dan kraf kreatif.
Selain itu, mereka juga menikmati makan malam sambil berkelah dan menonton tayangan filem di bawah bintang.
Sokongan berterusan SP Group memberi lebih 6,000 keluarga KidSTART akses kepada sumber menyeluruh bagi pembangunan awal kanak-kanak, serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KidSTART, Encik Joel Tan, berkata rakan kongsi seperti SP Group memainkan peranan penting dalam membolehkan KidSTART mencipta daya utama baru yang memberi impak kepada kanak-kanak KidSTART.
“Membesarkan seorang anak memerlukan sokongan ramai, dan kami berterima kasih bagi kerjasama jangka panjang SP Group serta komitmen mereka untuk memberikan peluang sama rata kepada kanak-kanak dan memastikan mereka mendapat permulaan baik dalam hidup,” kata beliau.
Setakat ini, KidSTART telah mencapai hasil yang memberangsangkan, dengan 3 daripada 4 kanak-kanak KidSTART mencapai pencapaian perkembangan yang sesuai dengan usia mereka.
Sebanyak 85 peratus ibu bapa menunjukkan pemahaman baik terhadap pembangunan dan pembelajaran anak mereka, sementara 94 peratus kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun pula telah mendaftar di prasekolah, mencerminkan kejayaan dalam memastikan penglibatan awal dan berterusan dalam pendidikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg