Topik diikuti
Pergi ke BHkuSpeaker Parlimen kesali sikap WP mempolitik laporan COP

Speaker Parlimen kesali sikap WP mempolitik laporan COP
SPEAKER Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, melahirkan rasa kesal dengan tindakan Parti Pekerja yang dianggapnya 'mempolitikkan laporan Jawatankuasa Hak Keistimewaan' (COP) walaupun ia belum dibahaskan. Dalam kenyataannya malam tadi (11 Feb), Encik Tan berkata, berdasarkan bukti yang diberikan oleh pemimpin Parti Pekerja, termasuk nota yang dikemukakan secara sukarela oleh Cik Sylvia Lim, COP berpuas hati bahawa Encik Pritam Singh telah berbohong di bawah sumpah. Beliau malah telah memberi panduan kepada Cik Raeesah Khan untuk meneruskan pembohongannya. Parti Pekerja hari ini menyiarkan satu kenyataan media yang seakan menyatakan saranan COP adalah berkaitan kerja-kerja politik Encik Pritam Singh dan Encik Muhamad Faisal Abdul Manap, sebagai anggota parlimen pembangkang dan ini seakan membayangkan ia akan menjejas pembangunan sebuah masyarakat demokratik. "Dapatan COP adalah berdasarkan bukti objektif, yang disediakan untuk semua melihatnya. COP meneliti sikap Encik Singh dan Encik Faisal. Sikap mereka sebelum COP dilihat berpotensi disabitkan dengan kesalahan jenayah," kata Encik Tan. Menurutnya lagi, Encik Faisal secara langsung dan berulang kali enggan menjawab soalan COP, meskipun diberi amaran bahawa ia mungkin membawa kepada kesalahan dan dianggap sebagai menyanggahi Parlimen.
Berdasarkan penemuan-penemuan ini, Parlimen mempunyai kuasa untuk terus mengenakan sekatan. Bagaimanapun, daripada sekatan dikenakan Parlimen, COP menyarankan Parlimen mempertimbang usul merujuk perkara ini kepada pihak Pendakwa Raya. Dengan cara ini, Pendakwa Raya perlu mempertimbang perkara ini lagi; dan jika dakwaan dikenakan, Encik Singh dan Encik Faisal akan mempunyai peluang penuh untuk mempertahan diri mereka di Mahkamah Undang-Undang. Proses ini akan memberi Encik Singh dan Encik Faisal peluang terbaik untuk membebaskan diri mereka dari tuduhan, jika mereka benar-benar tidak bersalah. "Inilah cara bagaimana demokrasi harus berjalan. Sebuah sistem demokratik memerlukan mereka yang dipilih menghormati institusi demokrasi, terutamanya Parlimen, dan mendukung undang-undang kita - termasuk undang-undang sumpah bohong dan cakap putar belit. "Ia akan menyanggahi perjalanan demokrasi, di mana seorang AP berbohong, di bawah sumpah, dan kemudian menyatakan pembohongan sedemikian tidak harus ditangani, atau dia sendiri tidak boleh disentuh undang-undang oleh sebab kedudukannya. Menyentuh soal tingkah laku Encik Singh dan Encik Faisal di depan COP, jika ada sebarang pertuduhan, Mahkamah akan menentukan. Tanpa mengisahkan apa pun dapatan COP, Mahkamah akan memberikan kata putusnya. Itulah yang disarankan oleh COP, kata Encik Tan.