Sistem SPH Media mengalami serangan siber ke atas lima sistemnya pada awal November di mana alamat e-mel dan nombor telefon pelanggannya terdedah.

Namun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat media itu pada 10 November, ia menyatakan bahawa tiada butiran kad pembayaran, maklumat kewangan atau perbankan, atau akses ke akaun pelanggan terjejas.

SPH Media – yang menerbitkan akhbar termasuk The Straits Times, Lianhe Zaobao dan Berita Harian – berkata berdasarkan siasatan awal, ia mengesyaki bahawa sarangan tersebut dijalankan pelaku yang sama dan mungkin didayakan kecerdasan buatan (AI).

Percerobohan tersebut berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk gangguan perisian, atau software bugs, dan konfigurasi sistem, kata jurucakapnya.

Kejadian serangan siber yang pertama dikesan pada 4 November, manakala yang terkini pula pada 8 November.

Pencerobohan data SPH Media itu susulan beberapa kejadian serupa yang berlaku di Singapura baru-baru ini, termasuk yang menjejas syarikat telekomunikasi M1 dan platform teleperubatan Doctor Anywhere.

“Ia dipercayai satu usaha bersepadu yang dijalankan oleh pelaku ancaman yang sama.

“Serangan tersebut menjejas dua kumpulan sistem kami – yang pertama ke atas sistem yang mengandungi beberapa data peribadi, dan yang kedua pula ke atas sistem yang tidak menyimpan sebarang data peribadi,” kata jurucakap SPH Media.

Bagi kumpulan sistem yang pertama, maklumat terdedah sebahagian besarnya termasuk alamat e-mel, dan juga beberapa nama, alamat rumah dan nombor telefon – membentuk 9 peratus daripada pangkalan data syarikat itu.

Beberapa alamat e-mel kakitangan syarikat itu juga terjejas.

Tiada butiran kad pembayaran, maklumat kewangan atau perbankan, atau akses ke akaun pelanggan terjejas.

Bagi kumpulan kedua pula, ia melibatkan akses tanpa izin ke dalam sistem yang tidak mengandungi sebarang data peribadi.

Ditanya lanjut mengenai punca serangan itu, jurucakap syarikat tersebut berkata insiden itu melibatkan serangan siber secara langsung terhadap sistem SPH Media, dan “ia tidak bermula melalui percubaan pancingan data (phishing), tindakan pengguna menekan pautan, ataupun melalui pihak ketiga (seperti vendor)”.

Jurucakap SPH Media berkata sejurus syarikat itu mengesan kejadian tersebut, mereka mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan keselamatan sistem yang terjejas dan mendapatkan khidmat pakar keselamatan siber luar untuk menyiasat dan membendung pencerobohan yang berlaku.

Gangguan perisian juga telah diperbetulkan, dan konfigurasi sistem dikemas kini.

Ini di samping mengemas kini benteng pertahanan perimeter untuk menyekat percubaan pencerobohan dan eksploitasi selanjutnya oleh penyerang dan mempertingkat tahap pemantauan, tambahnya.

Syarikat itu juga melaporkan kejadian kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi, Agensi Keselamatan Siber Singapura, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), serta membuat laporan polis.

“Kami juga telah memaklumkan kepada semua pihak yang terjejas mengenai kejadian itu dan menasihatkan mereka tentang langkah berjaga-jaga yang mereka harus ambil,” kata jurucakap itu.

Jurucakap itu menambah bahawa SPH Media memandang serius keselamatan dan kerahsiaan maklumat pelanggan, dan telah bekerja rapat dengan pihak berkuasa yang relevan serta pakar pihak ketiga.

“Kami menasihatkan pelanggan agar kekal berwaspada dan berhati-hati terhadap e-mel, mesej dan panggilan yang mencurigakan serta tidak diminta, terutamanya yang meminta butiran peribadi, kata laluan atau pembayaran, dan untuk elak daripada menekan pautan atau lampiran yang mencurigakan.

“Kami kekal komited untuk melindungi maklumat yang diamanahkan kepada kami,” katanya.