SPH Media mengecam kenyataan berbaur hasutan dan penghinaan yang bertentangan dengan nilai teras negara.

Dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pertanyaan media, SPH Media berkata ia dan penerbitan di bawahnya komited terhadap wacana yang bertanggungjawab, selaras dengan pendirian editorial bilik beritanya.

“Kami mengecam kenyataan berbaur hasutan dan penghinaan yang bertentangan dengan nilai teras negara, dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan di wadah kami,” kata pihak SPH Media dalam kenyataan itu.

Kenyataan tersebut menyusuli kebimbangan mengenai komen perkauman dalam talian yang dibangkitkan Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, pada 5 September, yang menyasarkan masyarakat India berkaitan banjir di Nepal serta hubungan antara Singapore Airlines (SIA) dengan Air India.

Encik Shanmugam berkata komen sedemikian telah “melampaui batas” dan beliau telah meminta polis menyiasat sama ada sebarang kesalahan telah dilakukan.

Beliau turut berkata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) akan meminta wadah dalam talian untuk menurunkan komen yang melanggar garis panduan mereka.