SPH Media telah mempertingkat keselamatan sistemnya dan sedang bekerjasama dengan sebuah firma keselamatan siber terkemuka yang dikenali bagi keupayaannya dalam forensik digital dan respons kejadian untuk menyiasat insiden serangan siber yang menjejas lima sistemnya pada awal November.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 10 November, jurucakap syarikat itu berkata berdasarkan siasatan awal, ia mengesyaki bahawa serangan tersebut dijalankan pelaku yang sama dan mungkin didayakan kecerdasan buatan (AI).

Kejadian serangan siber itu berlaku antara 4 dengan 8 November, dan menjejas 9 peratus pangkalan data SPH Media.

Sebahagian besar maklumat yang terdedah merupakan alamat e-mel pelanggan serta beberapa nama, alamat rumah dan nombor telefon.

Namun, tiada butiran kad pembayaran, maklumat kewangan atau perbankan, mahupun akses ke akaun pelanggan terjejas.

Jurucakap SPH Media berkata seperti mana-mana pertubuhan lain, syarikat tersebut juga menghadapi ancaman keselamatan siber yang berterusan.

“Kami telah mengambil langkah-langkah untuk menjamin keselamatan sistem yang terjejas dan sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber luar untuk menyiasat kejadian dan memperkukuh langkah keselamatan kami.

“Kami kekal komited melindungi sistem kami dan maklumat yang diamanahkan kepada kami,” kata beliau.

Dengan serangan dibantu AI kian sering berlaku, SPH Media juga sudah pun mempertingkat pertahanan keselamatan sibernya supaya dapat mengesan serangan sedemikian dengan lebih baik.

Ini termasuk perlindungan untuk mengenal pasti kelemahan lebih awal dan mengatasi masalah tersebut dengan segera, tambah jurucakapnya.

Pencerobohan tersebut berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk gangguan perisian atau software bugs, dan konfigurasi sistem.

Jurucakap itu berkata pembaikan gangguan tersebut telah dilaksanakan dan konfigurasi sistem telah dikemas kini.

“Kami juga telah mengemas kini benteng pertahanan perimeter kami bagi menyekat percubaan pencerobohan dan eksploitasi lanjut oleh penyerang, serta mempertingkatkan tahap pemantauan kami,” tambahnya.

SPH Media – yang menerbitkan akhbar termasuk The Straits Times, Lianhe Zaobao dan Berita Harian – berkata ia telah mengesan serangan siber ke atas lima sistemnya pada awal November, yang dipercayai merupakan “satu usaha bersepadu yang dijalankan oleh pelaku ancaman yang sama”.

Serangan tersebut menjejas dua kumpulan sistemnya – yang pertama ke atas sistem yang mengandungi beberapa data peribadi, sementara yang kedua pula ke atas sistem yang tidak menyimpan sebarang data peribadi.

Sejurus syarikat itu mengesan kejadian tersebut, ia mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan keselamatan sistem yang terjejas dan mendapatkan khidmat pakar keselamatan siber luar untuk menyiasat dan membendung pencerobohan yang berlaku, kata jurucakap itu.