SPH Media Holdings (SPHMH) mengumumkan pembaharuan kepada barisan lembaga pengarahnya berkuat kuasa 1 Oktober, disertai empat wajah baru yang membawa kepakaran khusus dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), serta pendekatan masyarakat dan belia.

Mereka termasuk Encik Abbas Ali Mohamed Irshad, ketua ehwal korporat bagi Asean di Tata Consultancy Services; dan Cik Kohe Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan M Kapital Holdings.

Turut dilantik ialah Encik Edward Chen, Ketua Pegawai AI di NCS Group; dan Cik Liew Wei Li, Ketua Pengarah Pendidikan di Kementerian Pendidikan (MOE).

Mereka menyertai anggota lembaga pengarah sedia ada, iaitu Encik Chan Yeng Kit, yang kini Pengerusi Eksekutif SPH Media Trust (SMT) dan SPHMH; Cik Elaine Yew; Encik Max Loh, pengerusi Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS); Encik Philip Lee, karyawan perbankan veteran; dan Cik Quah Ley Hoon, Ketua Pegawai Korporat Kumpulan CapitaLand Investment.

Langkah pembaharuan ini menyaksikan persaraan beberapa anggota lembaga pengarah SPHMH, termasuk Encik Patrick Daniel, mantan CEO sementara SMT; Encik Lee Yi Shyan, mantan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan); Cik Lim Mei, rakan kongsi bersama firma guaman Allen & Gledhill; dan Encik Bahren Shaari, mantan CEO Bank of Singapore.

Perubahan kepimpinan utama turut diumumkan secara rasmi, di mana Encik Chan dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SMT dan SPHMH.

Beliau memegang peranan kepimpinan yang diperluas, menyatukan tanggungjawab baharu tersebut dengan peranan sedia adanya sebagai CEO SPH Media.

Encik Chan, 61 tahun, menggantikan Encik Khaw Boon Wan, yang bersara selepas berkhidmat selama lima tahun sebagai Pengerusi SMT dan SPHMH sejak 2021.

Encik Khaw dilantik sebagai Pengerusi SMT pada Mei 2021, susulan penstrukturan semula syarikat tersenarai awam Singapore Press Holdings (SPH) yang memisahkan operasi medianya kepada sebuah syarikat awam berhad yang dijamin (CLG).

Sementara itu, Encik Kuek Yu Chuang, 47 tahun, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan CEO, dilantik sebagai Pengarah Urusan SPH Media bagi memacu operasi harian dan mengendalikan prestasi serta pertumbuhan jangka pendek dan pertengahan syarikat.

Mengulas mengenai persaraannya, Encik Khaw melahirkan keyakinan terhadap masa depan organisasi tersebut.

“SPH Media berada di kedudukan yang kukuh, dan saya berbesar hati menyerahkan kepimpinan kepada Pengerusi Eksekutif baharu kami, Yeng Kit, yang mana kepimpinan beliau yang mantap dan penuh pertimbangan serta ketajaman strategik adalah ciri-ciri yang diperlukan SPH Media.

“Saya yakin di bawah bimbingannya, syarikat ini akan terus berkembang mengikut peredaran landskap media, memenuhi keperluan audiens kami, dan yang paling penting, melaksanakan peranan pentingnya dalam mewujudkan masyarakat yang berinformasi ” kata beliau.

Encik Chan pula berkata bahawa SPH Media lebih daripada sekadar sebuah syarikat akhbar dan kini beroperasi menerusi lebih 120 saluran merangkumi pelbagai platform digital, termasuk di laman web, aplikasi, media sosial, platform pemesejan, video dan podcast.

“Apa yang membezakan kami adalah kebanggaan kami sebagai warga Singapura, dengan warisan kepercayaan yang bermula sejak 1845 serta rakyat Singapura sebagai teras kepada setiap usaha kami.

“Sedang kami menjalani transformasi, kami akan terus menghasilkan kandungan yang bukan sahaja memberi maklumat dan memperkaya minda, malah menjadi bahan fikiran, mencetuskan perbualan, serta menyentuh hati dan jiwa Singapura,” kata beliau.

Encik Chan turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Khaw atas kepimpinannya, sambil menambah bahawa beliau telah memimpin syarikat itu menerusi fasa peralihan dan transformasi yang sangat penting daripada model syarikat penyenaraian awam kepada CLG dengan “pragmatisme khas beliau”.

“Saya sedar tanggungjawab besar yang perlu saya galas, namun saya rasa tenteram kerana dapat melakukannya dengan berpandukan asas kukuh yang telah ditinggalkan oleh tokoh terhebat sebelum ini.

“Saya juga sangat berterima kasih kepada anggota lembaga pengarah julung kali SPH yang bersara... Mereka telah tampil untuk menjadi sebahagian daripada lembaga pengarah serta mengendalikan dan memimpin perubahan yang perlu kita lalui,” kata beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti