Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPS mula inisiatif lengkapi masyarakat kemahiran sokong bekas banduan: Faishal

Masyarakat akan diajar ilmu kaunseling, pemulihan bekas pesalah
Jun 18, 2022 | 5:30 AM
Mangsa dikenali sebagai Encik Jason Ren Jie berjaya ditemui selepas dilaporkan hilang di dalam hutan di Johor. Foto: FACEBOOK POLIS DAERAH KOTA TINGGI
Mangsa dikenali sebagai Encik Jason Ren Jie berjaya ditemui selepas dilaporkan hilang di dalam hutan di Johor. Foto: FACEBOOK POLIS DAERAH KOTA TINGGI -

PERKHIDMATAN Penjara Singapura (SPS) sedang membangunkan satu rancangan gerakan masyarakat untuk melengkapkan lebih ramai penduduk di sini dengan kemahiran menyokong bekas banduan kembali ke pangkuan masyarakat selepas keluar dari penjara.

Ini bakal dilaksanakan sedang pihak berkuasa menetapkan matlamat baru untuk menurunkan kadar kebentanan lima tahun di sini.

Demikian diumumkan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa majlis Kemajuan Korporat SPS dan Reben Kuning Singapura di ibu pejabat SPS semalam.

Rancangan itu melibatkan lebih ramai rakan kongsi masyarakat serta relawan, selain penubuhan satu rangkaian bekas pesalah yang boleh menawarkan sokongan sebagai pendamping bagi mereka yang masih dalam proses pemulihan.

Dr Faishal berkata kadar kebentanan dua tahun pada 2021 adalah 20 peratus - kadar rekod terendah dalam tiga dekad.

Namun kadar kebentanan lima tahun pada 2021 adalah 41 peratus.

Ini bermakna dua daripada lima pesalah yang dibebaskan pada 2016 masuk penjara semula.

Faishal: Rangkaian bekas pesalah akan dibentuk bagi mereka dampingi pesalah baru keluar penjara

Bagi menurunkan kadar bentan lima tahun di sini, SPS dan Reben Kuning Singapura (YRSG) perlu sokongan teguh daripada rakan kongsi masyarakat, agar sebuah ekosistem bagi menyokong bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat dapat dibina.

Oleh itu, rancangan gerakan masyarakat yang diumumkan Dr Faishal semasa majlis Kemajuan Korporat SPS dan YRSG semalam bermatlamat melatih masyarakat dengan pelbagai kemahiran bagi membantu bekas pesalah.

Ini termasuk kemahiran kaunseling, pendamping, pengetahuan dalam membantu golongan tertentu, seperti belia dan warga emas, serta teori pemulihan, kata SPS semasa menjawab pertanyaan Berita Harian.

Dr Faishal juga berkata sebuah rangkaian bekas pesalah akan dibentuk agar mereka yang sudah bebas daripada penjara dapat menjadi pendamping kepada mereka yang baru dalam perjalanan itu.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada inisiatif Break The Cycle SG, yang melibatkan bekas pesalah dadah baru keluar penjara bertemu bekas banduan lain untuk melibatkan diri dalam kegiatan kegemaran seperti berbasikal.

Rangkaian seperti itu bukan sahaja dapat mencegah mereka pulang ke tabiat lama, malah membolehkan mereka mendapat manfaat lain, seperti peluang pekerjaan baru daripada teman dalam rangkaian itu.

Selain itu, sebuah saluran Telegram Friends of YRSG dilancarkan semalam bagi orang ramai menerima berita terkini tentang acara serta peluang menyokong bekas pesalah dalam perjalanan pemulihan.

Menyusuli itu, penolong pengarah bagi kerjasama YRSG, Encik Tan Yick Loong, berkata: "Usaha menurunkan kadar bentan lima tahun itu memang satu cabaran besar tetapi ia boleh dilakukan.

"Bagi YRSG, kami akan membantu bekas pesalah mendapat peluang pekerjaan, khususnya menerusi latihan, agar mereka dalam kedudukan baik sesudah keluar dari penjara."

Kadar bentan dua tahun Singapura pada 2021 - iaitu 20 peratus mereka yang bebas penjara pada 2019 ditahan atau dipenjara semula dua tahun selepas dibebaskan - adalah kadar paling rendah sepanjang 30 tahun lalu dan paling rendah di dunia.

"Kita telah mencapai yang terbaik bagi kadar bentan dua tahun di sini. Jadi sudah tiba masanya kita menetapkan sasaran lebih besar.

"Kita harus menetapkan matlamat menurunkan kadar bentan lima tahun pula," ujar Dr Faishal kepada 160 hadirin yang terdiri daripada rakan kongsi masyarakat di ibu pejabat SPS, Upper Changi Road North, semalam.

Kadar bentan lima tahun menimbangkan bagaimana bekas pesalah dapat elak mengulangi kesalahan buat jangka lebih lama.

"Ia 41 peratus tahun lalu bagi kohort pesalah yang dibebaskan pada 2016. Ini bermakna dua dalam setiap lima bekas pesalah mengulangi kesalahan mereka dan dimasukkan semula ke dalam penjara lima tahun selepas dibebaskan.

"Inilah cabaran kita seterusnya. Saya yakin kita boleh mencapainya," kata Dr Faishal.

Selain usaha di luar penjara, SPS akan memperluas usahanya bersama Pusat Khidmat Keluarga (FSC) bagi menawarkan bantuan keluarga kepada semua banduan yang mempunyai anak muda pada 2023.

Sebelum ini, bantuan itu, yang melibatkan SPS menilai keperluan keluarga banduan dan merujuk mereka kepada FSC, hanya terhad kepada pesalah wanita yang mempunyai anak kecil pada 2020 dan kemudian diperluas kepada pesalah lelaki di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) yang mempunyai anak muda setahun kemudian.

Dr Faishal juga berkata peluang pekerjaan juga penting bagi bekas pesalah berdikari dan mempertingkat mutu kehidupan mereka dan keluarga mereka selepas keluar penjara.

Oleh itu, inisiatif Latihan dan Penempatan (TAP) di mana YRSG bekerjasama dengan insitut latihan dan rakan masyarakat bagi menyediakan akademi latihan di penjara, akan diperluas untuk mengadakan akademi bagi sektor makanan dan minuman tahun ini.

Pada masa sama, sebuah Skim Persiapan Pekerjaan (EmPS) bagi banduan memperoleh kemahiran dan melanjutkan pelajaran di luar penjara akan diperkenal tahun ini.

"Kita telah mencapai yang terbaik bagi kadar bentan dua tahun di sini. Jadi sudah tiba masanya kita menetapkan sasaran lebih besar. Kita harus menetapkan matlamat menurunkan kadar bentan lima tahun pula." - Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg