Singapura bakal memulakan ujian bagi sistem pengecasan dan pertukaran bateri (BCSS) serta menguji sistem pengecasan mudah alih (MCS) untuk kenderaan barangan berat elektrik (e-HGV) pada separuh kedua 2024, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 11 Jun.
Dalam satu hantaran di media sosial, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, berkata:
“Maklumat yang diperoleh daripada ujian ini akan membolehkan LTA memahami keperluan teknikal, operasi dan keselamatan bagi teknologi tersebut dan mempertimbangkan untuk menggabungkannya dalam semakan Rujukan Teknikal 25 akan datang untuk menambah baik infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik kami di Singapura.”
Rujukan Teknikal 25 (TR25) merupakan piawaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) nasional Singapura yang ditubuhkan pada 2010.
Semua teknologi pengecasan baru – seperti pertukaran bateri dan pengecasan mudah alih – perlu disahkan dalam TR25 sebelum diterima pakai secara meluas atau komersial.
Sebanyak empat ruang ujian dalam sistem komputer (sandbox trial) bakal dilakukan selama empat tahun.
PSA Corporation akan mengendalikan satu stesen BCSS di terminal pelabuhan Pasir Panjang, untuk enam terminal trak elektrik besar dan dua kenderaan pengangkutan berat elektrik atau ‘Inter Gateway Hauliers’ yang berada di jalanan.
Sebuah konsortium yang dibentuk oleh Strides Frontiers dan Ecoswift milik SMRT akan mengendalikan stesen pengecasan dan pertukaran bateri di Tuas.
Konsortium itu akan bekerjasama dengan firma logistik tempatan untuk menyediakan perkhidmatan pertukaran bateri e-HGV untuk sehingga 10 kenderaan.
Stesen pertukaran bateri dan kenderaan daripada pengeluar kenderaan komersial China, Sany, yang telah melantik Ecoswift sebagai pengedar rasminya di Singapura, akan digunakan dalam ujian itu.
Dua syarikat yang sudah menyediakan perkhidmatan pengecasan EV mudah alih kepada kenderaan elektrik penumpang juga akan mengambil bahagian dalam ujian tersebut.
Power-Up Tech akan menyediakan sehingga 10 set peralatan pengecasan mudah alih dengan satu pengecas setiap satu, untuk menyokong pengecasan kenderaan elektrik termasuk van, trak dan bas.
Beecharge Innovation Group akan menggunakan sehingga lapan set peralatan pengecasan mudah alih untuk menyokong pembekal EV kongsi dan pengendali kenderaan berat komersial.
Pertukaran bateri melibatkan kenderaan eletrik menukar kepada bateri yang dicas penuh di stesen pertukaran, yang mengambil masa yang jauh lebih singkat berbanding pengecasan ‘plug-in’ konvensional.
Bagi pengecasan mudah-alih, sebuah pengecas akan dibawa ke tempat di mana kenderaan itu berada.
“E-HGV merupakan kenderaan yang sangat besar dan memerlukan bateri yang lebih besar yang mengambil masa yang lebih lama untuk mengecas.
“Pengecasan mudah alih untuk e-HGV boleh membantu syarikat mengurangkan masa henti, terutamanya jika mereka menghadapi kekangan infrastruktur atau tidak mempunyai ruang yang mencukupi atau akses kepada pengecas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Power-Up Tech, Encik Michael Chin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg