SINGAPURA mengalu-alukan negara lain untuk menyertai perjanjian ekonomi hijau yang sedang dibincangkan dengan Australia, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semalam.
"Perjanjian seperti ini bertujuan bersifat terbuka dan inklusif, yang bermakna negara lain yang bersedia menyertainya akan dialu-alukan untuk menyertai perjanjian ini," kata Encik Gan.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Sidang Asean yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Puncak Perniagaan Apex Singapura (SABS) anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) bersama syarikat penganjur acara dan konvensyen, MP Singapore.
Lebih 3,000 pemimpin perniagaan dan pegawai kanan pemerintah dari 57 negara dan ekonomi, dan lebih 1,600 pertubuhan, telah mendaftar untuk menghadiri sidang puncak itu secara fizikal di Marina Bay Sands atau secara dalam talian.
Singapura kini sedang membincangkan satu perjanjian ekonomi hijau bersama Australia, dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon demi menangani perubahan iklim.
Antara bidang yang sedang ditinjau termasuk mengimport tenaga hijau dari Australia, serta memperdagang kredit karbon.
Syarikat atau negara yang mendapati kesukaran mengurangkan pelepasan karbon boleh membeli kredit karbon, iaitu dengan membayar pihak lain untuk mengurangkan pelepasan bagi pihak mereka.
Sedang Singapura berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan pelepasan karbonnya, ia masih memerlukan kredit karbon, antaranya disebabkan keterbatasan ruang, kata Encik Gan.
Oleh itu, negara perlu bersetuju mengenai cara melaksanakan perdagangan kredit karbon.
"Perjanjian hijau akan membolehkan kami melakukan demikian dan membolehkan kami untuk meneroka projek hijau, seperti projek penghutanan semula di negara lain," ujar Encik Gan.
Selain ekonomi hijau, satu lagi bidang yang akan menawarkan banyak peluang ialah ekonomi digital.
Singapura kini meninjau pelbagai bentuk perjanjian digital dengan beberapa negara, yang meliputi usaha meneroka projek dan kerjasama, hingga perjanjian yang melibatkan peraturan dan pengurusan pasaran, kata Encik Gan.
Ini sedang Singapura akur dunia juga harus melalui digitalisasi jika negara ini mahu melakukan urus niaga digital dengan pihak lain.
Dalam hal ini, negara ini juga sedang memperkukuh digitalisasi dalam kalangan anggota Asean, serta antara Asean dengan pasaran besar lain.
Dalam pada itu, Singapura terus memburu dan meluaskan kerjasama menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di peringkat dua hala dan berbilang hala.
Baru-baru ini, Singapura menandatangani FTA dengan empat negara Perikatan Pasifik - Chile, Colombia, Mexico, dan Peru.
Antaranya, Singapura sedang meninjau kemungkinan untuk mengimport lebih banyak makanan dari negara Perikatan Pasifik untuk memastikan Singapura mempunyai sumber makanan yang pelbagai.
Selain itu, Singapura juga meneroka kemungkinan melabur dalam projek hijau di Perikatan Pasifik yang berpotensi menjana kredit karbon.
Justeru, satu platform perdagangan kredit karbon merupakan antara perkara yang sedang dipertimbangkan, kata Encik Gan.
Berhubung krisis Ukraine dan kesannya kepada rantaian bekalan, Encik Gan berkata ketidaktentuan yang sedang berlaku menunjukkan betapa pentingnya rantaian bekalan itu berdaya tahan dan mempunyai alternatif.
"Sedang ekonomi kita pulih, kita juga perlu melihat cara untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan," ujarnya.
Dalam hal ini, Singapura perlu terus melabur dalam keupayaan tenaga kerja untuk mengurus rantaian bekalan dengan lebih baik.
Teknologi digital juga boleh digunakan untuk memantau rantaian bekalan agar Singapura boleh pantas menyesuaikan diri dan mengubah laluan bekalan, kata Encik Gan.
S'PURA ALU-ALU PERJANJIAN EKONOMI HIJAU
"Perjanjian seperti ini bertujuan bersifat terbuka dan inklusif, yang bermakna negara lain yang bersedia menyertainya akan dialu-alukan untuk menyertai perjanjian ini."
NEGARA PERLU SETUJU CARA LAKSANA PERDAGANGAN KREDIT KARBON
"Perjanjian hijau akan membolehkan kami melakukan demikian dan membolehkan kami untuk meneroka projek hijau, seperti projek penghutanan semula di negara lain."
PENTING RANTAIAN BEKALAN BERDAYA TAHAN DAN PUNYA ALTRNATIF
"Sedang ekonomi kita pulih, kita juga perlu melihat cara untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan." - Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg