KEJAYAAN ekonomi Singapura, keselamatan dan kebersihan negara ini, menjadikannya antara negara paling dikagumi di kalangan rakyat Indonesia, bersama dengan Arab Saudi dan Turkey, menurut satu kajian terbaru. Amerika Syarikat dan Eropah pula dilihat lebih teruk daripada Russia, manakala kecurigaan terhadap China menjadikannya negara paling tidak dikagumi. Projek Tinjauan Nasional Indonesia oleh Iseas - Institut Yusof Ishak, mendapati 89.1 peratus daripada 1,620 responden berkata mereka menyanjungi Singapura, yang berada di tempat ketiga selepas Saudi (95.7 peratus) dan Turkey (90.1 peratus) lapor akhbar The Straits Times (ST). Apabila ditanya pula negara mana yang paling penting pada Indonesia, negara Saudi juga menjadi pilihan pertama dengan 97.4 peratus. Ini diikuti Singapura (90.8 peratus) dan Turkey (90.4 peratus). Pilihan utama pada Saudi adalah kerana negara itu merupakan lokasi dua tempat suci bagi umat Islam, iaitu Kaabah di Makkah dan Masjid Nabawi, di Madinah, kata Dr Burhanuddin Muhtadi, zamil pelawat Program Pengajian Indonesia di Iseas. Kedudukan tinggi Turkey juga kerana ia adalah negara Islam. Singapura disenangi rakyat Indonesia kerana mendapati negara ini selamat, bersih dan berjaya dari segi ekonomi, kata ketua pakar ekonomi Bank Permata, Encik Josua Pardede, yang kemudiannya menambah: "Rakyat Indonesia mempunyai perspektif positif terhadap Singapura kerana negara itu disifatkan sebagai destinasi pelancongan (dan) paling dekat. "Singapura juga menawarkan landskap perbandaran yang selamat dan bersih serta penguatkuasaan undang-undang yang baik. "Dari segi ekonomi pula, Singapura disifatkan sebagai sebuah negara maju di Asean, yang menjadi penanda aras bagi rakyat Indonesia."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg