Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura-Australia perkukuh bekalan kritikal, rintis penyimpanan karbon rentas sempadan
Rantaian bekalan diperluas kepada makanan, semikonduktor selain buka ruang baharu untuk tangani pelepasan karbon
S’pura-Australia perkukuh bekalan kritikal, rintis penyimpanan karbon rentas sempadan
CANBERRA: Singapura dan Australia menandatangani dua perjanjian pada 24 November untuk memperkukuh kerjasama dalam bekalan barangan penting serta membolehkan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) merentasi sempadan.
Kerjasama itu bertujuan meningkatkan ketahanan ekonomi kedua-dua negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Perjanjian pertama adalah memperluaskan kerjasama rantaian bekalan sedia ada yang sebelum ini melibatkan minyak petroleum dan gas asli cecair (LNG).
Kini, kerjasama itu turut merangkumi bekalan makanan, semikonduktor, bahan kimia rawatan air, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan telekomunikasi serta barangan penting lain.
Perjanjian kedua pula adalah menyediakan rangka kerja bagi penghantaran karbon dioksida yang diperoleh melalui proses pemerangkapan karbon di Singapura ke Australia, untuk disimpan di bawah tanah di kawasan luar pesisir.
Ini berpotensi membuka ruang baharu bagi Singapura untuk menangani pelepasan karbon daripada sektor perindustrian yang sukar dihapuskan.
Kedua-dua perjanjian itu dimeterai dalam satu majlis di Canberra, yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan rakan sejawatannya dari Australia, Encik Anthony Albanese.
Majlis itu berlangsung selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata dan bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Tahunan Pemimpin Singapura-Australia ke-11.
Kedua-dua negara turut mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kecerdasan buatan (AI) dan mencapai kemajuan ke arah memperbaharui perjanjian pertahanan yang menyokong latihan tentera Singapura di Australia.
Berucap pada sidang akhbar bersama, Encik Wong berkata susulan krisis Timur Tengah, beliau dan rakan sejawatannya bersetuju pada April bahawa kedua-dua negara akan saling menyokong dalam memastikan bekalan penting terus mengalir.
Mereka kemudian bersetuju berbuat demikian untuk perdagangan minyak petroleum, termasuk diesel, serta LNG.
“Hari ini kita membawa kerjasama ini lebih jauh,” katanya.
Menggambarkan perbincangannya dengan Encik Albanese pada pagi itu sebagai meluas dan bermakna, Encik Wong berkata:
“Hubungan dua hala kita berada dalam keadaan yang sangat baik.”
Kedua-dua negara sudah pun mencapai kemajuan dalam menterjemahkan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP 2.0) yang dipertingkatkan, dilancarkan pada Oktober 2025, kepada hasil yang konkrit, tambah beliau.
Dalam pada itu, Memorandum persefahaman (MOU) baharu mengenai bekalan barangan penting itu melengkapi Protokol Daya Tahan Ekonomi dan Bekalan Penting yang ditandatangani pada Julai di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Singapura-Australia.
Protokol tersebut mempunyai ikatan undang-undang.
Protokol itu merangkumi minyak petroleum dan LNG, dengan kedua-dua negara komited untuk berusaha tidak mengenakan sekatan eksport ke atas bekalan penting yang dipersetujui.
Ia turut menyediakan peruntukan bagi notis awal dan perundingan, namun masih belum berkuat kuasa memandangkan kedua-dua pihak sedang menyelesaikan prosedur dalam negara masing-masing.
MOU baharu itu merangkumi 10 kategori barangan, baja, bahan binaan, teknologi tenaga boleh diperbaharui dan peralatan isyarat trafik, menurut helaian fakta daripada Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) Singapura.
Mengenai kerjasama yang diperluaskan itu, Encik Wong berkata: “Ini adalah susunan praktikal yang akan membawa perbezaan sebenar apabila gangguan seterusnya berlaku.
“Ia mencerminkan kepercayaan yang telah kita bina, serta komitmen bersama kita untuk memastikan perdagangan kekal terbuka dan rantaian bekalan kekal mampan, walaupun dalam masa yang sukar.”
Australia merupakan antara sumber utama import makanan dan tenaga Singapura, manakala Singapura pula merupakan pembekal utama produk petroleum bertapis kepada Australia.
MOU baharu itu ditandatangani oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran serta Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, dan Menteri Luar Australia, Cik Penny Wong.