CANBERRA: Singapura dan Australia menandatangani dua perjanjian pada 24 November untuk memperkukuh kerjasama dalam bekalan barangan penting serta membolehkan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) merentasi sempadan. 

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan ketahanan ekonomi kedua-dua negara dalam menghadapi ketidaktentuan global. 

Perjanjian pertama memperluaskan kerjasama rantaian bekalan sedia ada yang sebelum ini melibatkan minyak petroleum dan gas asli cecair (LNG). 

Kini, kerjasama itu turut merangkumi bekalan makanan, semikonduktor, bahan kimia rawatan air, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan telekomunikasi serta barangan penting lain.

Perjanjian kedua pula menyediakan rangka kerja untuk menghantar karbon dioksida yang diperangkap di Singapura ke Australia untuk disimpan di bawah tanah di kawasan luar pesisir. 

Kedua-dua perjanjian itu dimeterai dalam satu majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan rakan sejawatannya dari Australia, Encik Anthony Albanese, di Canberra, susulan satu pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin dan Mesyuarat Pemimpin Tahunan Singapura-Australia ke-11.

Kedua-dua negara turut mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kecerdasan buatan (AI) dan mencapai kemajuan ke arah memperbaharui perjanjian pertahanan yang menyokong latihan tentera Singapura di Australia.

Berucap pada sidang akhbar bersama, Encik Wong berkata susulan krisis Timur Tengah, beliau dan rakan sejawatannya bersetuju pada April bahawa kedua-dua negara akan saling menyokong dalam memastikan bekalan penting terus mengalir.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Mereka kemudian bersetuju berbuat demikian untuk perdagangan minyak petroleum, termasuk diesel, serta LNG. “Hari ini kita membawa kerjasama ini lebih jauh,” katanya. 

Menggambarkan perbincangannya dengan Encik Albanese pada pagi itu sebagai meluas dan bermakna, Encik Wong berkata: “Hubungan dua hala kita berada dalam keadaan yang sangat baik.”

Kedua-dua negara sudah pun mencapai kemajuan dalam menterjemahkan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP 2.0) yang dipertingkatkan, dilancarkan pada Oktober 2025, kepada hasil yang konkrit, tambah beliau.

Memastikan bekalan penting tidak terputus

Memorandum persefahaman (MOU) baharu mengenai bekalan barangan penting itu melengkapi Protokol Daya Tahan Ekonomi dan Bekalan Penting yang ditandatangani pada Julai di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Singapura-Australia. Protokol tersebut mempunyai ikatan undang-undang.

Protokol Julai itu merangkumi minyak petroleum dan LNG, dengan kedua-dua negara komited untuk berusaha tidak mengenakan sekatan eksport ke atas bekalan penting yang dipersetujui. 

Ia turut menyediakan peruntukan bagi notis awal dan perundingan, namun masih belum berkuat kuasa memandangkan kedua-dua pihak sedang menyelesaikan prosedur dalam negara masing-masing.

MOU baharu itu merangkumi 10 kategori barangan, yang turut termasuk input pertanian seperti baja, bahan binaan, teknologi tenaga boleh diperbaharui dan peralatan isyarat trafik, menurut helaian fakta daripada Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) Singapura.

Mengenai kerjasama yang diperluaskan itu, Encik Wong berkata: “Ini adalah susunan praktikal yang akan membawa perbezaan sebenar apabila gangguan seterusnya berlaku.

“Ia mencerminkan kepercayaan yang telah kita bina, serta komitmen bersama kita untuk memastikan perdagangan kekal terbuka dan rantaian bekalan kekal mampan, walaupun dalam masa yang sukar.”

Australia merupakan antara sumber utama import makanan dan tenaga Singapura, manakala Singapura pula merupakan pembekal utama produk petroleum bertapis kepada Australia. 

MOU baharu itu ditandatangani oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran serta Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, dan Menteri Luar Australia, Cik Penny Wong.