SINGAPURA menyumbang sejumlah 122,400 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada Batam dan Kepulauan Riau di Indonesia pada Selasa (28 September). Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman menyerahkan penghantaran vaksin kepada Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, di Pelabuhan Jurong. Penghantaran itu dijadualkan tiba di Pelabuhan Batu Ampar di Batam pada Rabu. "Sumbangan Covid-19 terbaru ke Indonesia ini membuktikan kerjasama erat dan lama antara Singapura dengan Indonesia, dan terutama dalam usaha berterusan memerangi wabak ini," kata Dr Maliki dalam ucapannya. Sumbangan dos vaksin AstraZeneca yang diperoleh di bawah inisiatif Covax itu adalah sebahagian daripada usaha Singapura untuk menyokong perjuangan global dan serantau menentang virus itu. Inisiatif antarabangsa Covax dimulakan dengan tujuan memudahkan akses yang adil kepada vaksin bagi negara berpendapatan sederhana dan lebih miskin. Vaksin Covid-19 akan disalurkan kepada masyarakat setempat di Batam dan Kepulauan Riau, yang terletak tidak jauh dari Singapura. Singapura dan Indonesia telah menunjukkan komitmen mereka untuk saling menyokong pada saat memerlukan, kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua Pendidikan. Baru-baru ini, Singapura menghantar 500 tan oksigen cair ke Indonesia untuk membantu mengurangkan kekurangan di kemudahan perubatan di sana. Indonesia memudahkan pengiriman barangan keperluan bagi kemudahan penjagaan masyarakat Singapura pada awal wabak ini. "Kami berharap sumbangan vaksin Singapura ke Indonesia... akan menyokong usaha-usaha ini dan kemajuan wilayah ini ke arah daya tahan Covid-19," kata Dr Maliki. Pada Isnin, Singapura juga memberikan 122,400 dos vaksin AstraZeneca dan bekalan perubatan kepada Thailand untuk menyokong perjuangannya melawan Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg