Topik diikuti
Pergi ke BHkuS'pura berpegang pada prinsip dalam isu Russia-Ukraine: Maliki
Bertindak berdasarkan kepentingan negara; tidak berpihak kepada sesiapa; serta berpegang pada prinsip kedaulatan dan kemerdekaan
S'pura berpegang pada prinsip dalam isu Russia-Ukraine: Maliki
Sebagai hab ekonomi yang bergantung kepada perdagangan, Singapura mudah terkesan dengan perkembangan global. Namun, meskipun kecil, ia terus teguh berpegang kepada prinsip dan pendirian sendiri dalam mempertimbangkan isu-isu geopolitik. Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, menyentuh beberapa isu ehwal luar yang menjadi tumpuan kebelakangan ini dan kesannya terhadap Singapura dalam temu ramah bersama BERITA HARIAN.
SINGAPURA akan terus bertindak berdasarkan kepentingannya sebagai sebuah negara dan tidak akan berpihak kepada mana-mana negara hanya berdasarkan prinsip 'might is right'.
Malah, prinsip tersebut - yang menetapkan bahawa negara yang lebih berkuasa bebas melakukan apa sahaja - perlu dibantah semua negara demi mengekalkan kestabilan perundangan antarabangsa serta untuk memastikan hak negara kecil seperti Singapura dapat dilindungi.
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, menekankan demikian semasa membincangkan implikasi krisis Russia-Ukraine.
Dr Maliki berkata kejadian tersebut menunjukkan bahawa jika sesebuah negara itu tidak mempunyai pertahanan yang kukuh, perkara sedemikian mungkin berlaku.
"Kita harus terus berpegang teguh kepada prinsip, ada yang menyatakan kita perlu berpihak kepada negara yang lebih berkuasa, negara yang lebih besar.
"Kita tidak memilih pihak. Kita tidak memilih negara yang lebih besar atau berkuasa. Kita memilih prinsip, berpegang kepada prinsip, kedaulatan, kemerdekaan, itu penting," ujarnya sambil menambah keutamaan Singapura adalah kedaulatan negara dan kesejahteraan warganya.
Untuk memastikan ia mampu berdiri teguh berdasarkan prinsip sendiri, Singapura perlu berupaya mempertahankan diri dan memastikan agensi keselamatan seperti Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team bersedia menghadapi sebarang ancaman, ujarnya.
Pertahanan mutlak negara juga perlu dipertingkat, tambah Dr Maliki, termasuk aspek pertahanan psikologi, ekonomi, dan pertahanan sosial disebabkan kesan isu geopolitik yang menyeluruh, seperti yang dapat dilihat sekarang.
Meskipun krisis itu kelihatan berlaku jauh dari Singapura, ekonomi negara dunia terjejas dengan kenaikan harga minyak dan barangan lain.
"Russia merupakan pengeluar minyak kedua terbesar, Ukraine pula merupakan pengeluar gas dan barangan lain.
"Jika terdapat sesuatu ketidakstabilan di sebuah rantau, ia akan berkait langsung dengan keadaan ekonomi kita dan kita akan lihat bagaimana harga barangan akan mula naik.
"Inilah yang dikatakan 'price of freedom' (harga kebebasan), bukan sesuatu yang kita inginkan tetapi ia adalah tanggungan untuk memastikan kebebasan dan kemerdekaan kita," katanya.
Justeru, beliau menambah warga Singapura perlu faham meskipun tindakan negara mempunyai implikasi, tetapi ia adalah demi kebebasan negara sebagai "negara yang berdaulat dan merdeka".
Dr Maliki turut menyangkal pendapat bahawa Singapura mengambil pendekatan 'neutral' (berkecuali) dalam dasar ehwal luarnya dalam isu-isu geopolitik yang melibatkan negara lain.
Prinsip yang dipegang serta tindakannya adalah demi kepentingan Singapura dan rakyatnya, dan bukan sekadar "berdiri di atas pagar", katanya.
"Setiap langkah yang kita ambil bukan neutral, tapi kita mengambil keputusan yang penting untuk diri kita sendiri.
"Kita pernah membuat undian di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)... yang berlainan sekali dengan negara-negara Barat. Ada (keputusan) yang berlainan sekali dengan negara-negara lain.
"... Kita tahu bahawa kita mempunyai harga diri sendiri, kita mempunyai tulang belakang yang kuat untuk berdiri, memastikan apa jua keputusan yang kita lakukan adalah demi kepentingan diri kita sendiri," katanya.
Masa akan menentukan sama ada keputusan yang diambil akan mempunyai implikasinya sendiri, dan Singapura tidak akan bertolak ansur dalam berpegang teguh pada prinsipnya, kata Dr Maliki.
"Kita harus terus berpegang teguh kepada prinsip, ada yang menyatakan kita perlu berpihak kepada negara yang lebih berkuasa, negara yang lebih besar. Kita tidak memilih pihak. Kita tidak memilih negara yang lebih besar atau berkuasa. Kita memilih prinsip, berpegang kepada prinsip, kedaulatan, kemerdekaan, itu penting." - Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.