Singapura dan Brazil telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) baharu yang akan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dalam penyahkarbonan dan pendigitalan maritim, serta menyokong perkapalan antarabangsa yang lebih mampan dan cekap.

MOU bagi menubuhkan Koridor Perkapalan Hijau dan Digital (GDSC) Singapura-Brazil itu dimeterai oleh Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, dan Menteri Pelabuhan dan Lapangan Terbang Brazil, Encik Tomé Franca.

Menerusi kerangka kerjasama GDSC ini, kedua-dua negara bakal menggabungkan kelebihan strategik masing-masing untuk menyokong pembangunan rantai bekalan bahan api marin alternatif.

“Brazil mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui yang signifikan serta keupayaan pengeluaran untuk menghasilkan bahan api marin pelepasan gas rumah hijau sifar atau hampir sifar.

“Sementara itu, Singapura merupakan pelabuhan pembekalan bahan api kapal (bunkering) terbesar di dunia dan pelabuhan hab global terkemuka dengan ekosistem inovasi yang rancak,” kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan pada 28 Ogos.

Di bawah MOU itu juga, Singapura dan Brazil akan meneroka pertukaran maklumat digital untuk meningkatkan kecekapan operasi maritim dan pelabuhan.

Kedua-dua negara juga akan bekerjasama rapat dengan sektor industri bagi memajukan penyelidikan, pembangunan, serta penggunaan teknologi dan penyelesaian maritim baharu.