Satu memorandum persefahaman (MOU) keselamatan bagi menangani jenayah rentas negara, termasuk ancaman seperti penipuan silang negara, telah dimeterai antara Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dengan Pejabat Ehwal Dalam Negeri Britain pada 6 November.
MOU tersebut ditandatangani Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo; dan Menteri Negara di Pejabat Ehwal Dalam Negeri Britain, Encik David George Hanson, dalam satu majlis di bangunan House of Lords, London.
Cik Teo berada di London sempena lawatan kerjanya ke Britain dan Perancis.
MOU itu bakal memperkukuh jalinan agensi penguatkuasaan undang-undang kedua-dua pihak.
Dalam satu kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 7 November, pemeteraian MOU itu adalah bukti hubungan lama antara Jabatan Home Team dengan agensi penguatkuasaan undang-undang di Britain.
Ini setelah kedua-dua pihak bekerjasama dalam perkongsian maklumat, latihan dan pembinaan kapasiti, serta bantuan bersama dalam pelbagai isu keselamatan, kata MHA, sambil menambah bahawa MOU terkini itu memperbaharui MOU sebelum ini yang ditandatangani pada Ogos 2018.
“Singapura kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan sejawatan global untuk memerangi jenayah rentas negara.
“MOU ini, yang ditingkatkan berdasarkan yang pertama ditandatangani bersama Pejabat Ehwal Dalam Negeri Britain, meningkatkan kerjasama Singapura dengan rakan kongsi kami di Britain, dan memperdalam kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang kami,” jelas Cik Teo.
MOU sebelum ini, yang ditandatangani pada 31 Ogos 2018, meliputi kerjasama antara MHA dengan Pejabat Ehwal Dalam Negeri Britain dalam “bidang kepentingan bersama” – termasuk jenayah serius, keselamatan sempadan, menangani keganasan, perlindungan infrastruktur serta sains dan teknologi.
Ia ditandatangani Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan mantan Setiausaha Pejabat Ehwal Dalam Negeri Britain, Encik Sajid Javid, di pejabat MHA.
Agensi di bawah MHA telah lama menjalin hubungan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang di Britain.
Kedua-dua pihak telah memudahkan pertukaran maklumat dan kerjasama dalam pelbagai kes serta melakukan lawatan sambil belajar.
Semasa lawatannya, beliau turut menandatangani Memorandum Kerjasama mengenai Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) dengan Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi UK.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg