SINGAPURA dan China telah menyelesaikan 10 memorandum persefahaman (MOU) dan perjanjian meliputi pelbagai bidang daripada kesihatan awam hingga kewangan semalam.
Ini termasuk kerjasama dalam mencegah dan mengawal penularan penyakit, memastikan keselamatan makanan dan memperkukuh perdagangan antara kededua negara.
MOU dan perjanjian itu diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-16 yang diadakan menerusi sidang video semalam.
Sidang itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Timbalan Perdana Menteri China Han Zheng, menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri Singapura semalam.
Sebelum mesyuarat JCBC itu, Encik Heng dan Encik Han telah mengadakan satu pertemuan dua hala, dan mengesahkan hubungan amat baik antara kedua-dua negara itu.
"Mereka meluahkan penghargaan atas sokongan bersama antara Singapura dan China semasa pandemik Covid-19 dan menantikan untuk bekerjasama bagi menyambung semula kegiatan ekonomi, mempertingkat kesalinghubungan dan meneroka bidang kerjasama yang baru," menurut kenyataan itu lagi.
Mesyuarat JCBC itu menyemak kerjasama dua hala di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI); kerjasama ekonomi, serta perdagangan dan inovasi; kerjasama kewangan; kerjasama kesihatan awam; pertukaran antara rakyat dan pembangunan mapan; serta Bandar Ilmu Guangzhou China-Singapura.
Kededua pengerusi bersama itu turut mengalu-alukan MOU Kerjasama Kesihatan dan MOU Pertukaran Fellowship Dasar Kesihatan yang ditandatangani, dan bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam pengilangan dan pengagihan vaksin.
Mengenai kesalinghubungan, kededua pihak turut meluahkan kesediaan untuk membincangkan idea bagi membuka sempadan, termasuk memanfaatkan Laluan Pantas Singapura-China dan meningkatkan kekerapan penerbangan.
Di bawah BRI pula, mereka telah bertukar-tukar pandangan mengenai cara memperkukuh kerjasama dalam pasaran pihak ketiga.
Mereka juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja bagi mengkaji kemungkinan membangun mekanisme huraian konflik mengikut keperluan Asia.
Encik Heng dan Encik Han semalam turut mempengerusikan mesyuarat Majlis Pandu Bersama (JSC) bagi Taman Industri Suzhou, Bandar Eko Tianjin, serta Inisiatif Demonstrasi China-Singapura (Chongqing) mengenai Kesalinghubungan Strategik (CCI).
Mesyuarat JCBC dan JSC itu turut dihadiri Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Kesihatan Encik Gan Kim Yong, Menteri Perhubungan dan Penerangan Encik S Iswaran, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Cik Grace Fu, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, Menteri Tenaga Manusia Cik Josephine Teo, Menteri Pembangunan Negara Encik Desmond Lee, serta Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
"Mereka meluahkan penghargaan atas sokongan bersama antara Singapura dan China semasa pandemik Covid-19 dan menantikan untuk bekerjasama bagi menyambung semula kegiatan ekonomi, mempertingkat kesalinghubungan dan meneroka bidang kerjasama yang baru." - Kenyataan Pejabat Perdana Menteri Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg