PERTUBUHAN pertahanan Singapura dan China menandatangani satu perjanjian pada Khamis untuk mengadakan talian khusus bertujuan mengukuhkan komunikasi peringkat tinggi antara pemimpin pertahanan antara kedua-dua pihak.

Penandatanganan itu berlaku selepas pertemuan antara Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, dan rakan sejawatannya, Encik Li Shangfu, yang berada di Singapura untuk menghadiri forum keselamatan Dialog Shangri-La yang pertamanya pada hujung minggu ini selepas dilantik pada Mac.

Dikenali sebagai “talian telefon pertahanan selamat” dalam dokumen rasmi, pemeteraian perjanjian untuk melaksanakannya telah disaksikan kedua-dua pemimpin selepas mereka mempengerusikan bersama Dialog Menteri Pertahanan Singapura-China kedua di Kementerian Pertahanan (Mindef).

Pertemuan itu adalah pertemuan rasmi pertama antara kedua-dua menteri tersebut.

Encik Li dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Mac berikutan rombakan Kabinet. Beliau juga merupakan bekas ketua Jabatan Pembangunan Peralatan yang menyelia teknologi ketenteraan.