Topik diikuti
Pergi ke BHkuS'pura dan Indonesia luah 'keprihatinan mendalam' berhubung isu Myanmar
S'pura dan Indonesia luah 'keprihatinan mendalam' berhubung isu Myanmar
MENTERI luar negara Singapura dan Indonesia telah melahirkan keprihatinan yang mendalam terhadap keadaan yang berlaku di Myanmar sambil menyokong usulan untuk mengadakan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Asean mengenai Myanmar.
Ini dinyatakan Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura semalam, menerusi satu kenyataan selepas Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia, Cik Retno Marsudi, di Singapura untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terkini Myanmar.
Mereka melahirkan keprihatinan mendalam atas situasi tersebut dan berharap semua pihak yang terlibat akan terus berdialog dan berusaha mencari jalan damai di Myanmar, termasuk kembali ke laluan demokratiknya, menurut kenyataan MFA lagi.
Dr Balakrishnan menggesa semua pihak yang terlibat agar menahan diri dan mengambil langkah-langkah segera untuk mengendurkan keadaan.
"Beliau menekankan bahawa seharusnya tiada kekerasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata. Khususnya, peluru hidup tidak boleh dilancarkan kepada orang awam yang tidak bersenjata dalam keadaan apa pun," tambah kenyataan itu.
Dalam rampasan kuasa pada 1 Februari, tentera Myanmar menggulingkan Liga Nasional Bagi Demokrasi (NLD) dan pemimpinnya.
Sejak itu, telah berlaku siri protes besar-besaran terhadap kudeta tersebut, dan terdapat laporan polis melepaskan tembakan untuk membubarkan penunjuk-penunjuk perasaan dalam sekurang-kurangnya satu kejadian, walaupun tidak jelas apakah peluru getah atau peluru hidup yang digunakan.
MFA berkata kedua-dua menteri membincangkan langkah-langkah lanjut yang mungkin boleh diambil Asean untuk mengatasi situasi di Myanmar, "termasuk bagaimana ia dapat memupuk dialog inklusif dengan semua pihak berkepentingan, termasuk rakan luarnya".
Mereka turut menyatakan dukungan kuat bagi usulan mengadakan Mesyuarat Menteri Asean tidak rasmi mengenai Myanmar agar diadakan secepat mungkin, untuk memfasilitasi pertukaran pandangan yang membina dan mengenal pasti jalan keluar yang memungkinkan.
Dr Balakrishnan di Parlimen pada Selasa lalu berkata beliau tidak menyokong sekatan meluas terhadap Myanmar sebagai tindak balas terhadap rampasan kuasa, kerana ini menjejas rakyat biasa.
Beliau berharap para tahanan termasuk pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint dapat dibebaskan sehingga mereka dapat berunding dengan dewan ketenteraan yang berkuasa.
Dalam pertemuan mereka semalam, Dr Balakrisnan dan Cik Retno menegaskan semula "hubungan dua hala yang sangat baik" dan agar kedua-dua negara dapat terus meneroka bidang kerjasama lebih lanjut di tengah cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19, kata kenyataan itu.
Cik Retno tiba di Singapura kelmarin dan berlepas pulang semalam.