SINGAPURA mencapai kemajuan yang baik untuk melaksanakan rangkaian 5G bagi seluruh negara menjelang 2025, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik S Iswaran, semalam.
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan prasarana digital dan membuka peluang baru dalam industri media.
"Ini akan menawarkan potensi yang baru dan menarik bagi syarikat media.
"Dengan kelajuan lebih tinggi dan masa pendam (latency) teknologi itu, startup media setempat sudah mula bereksperimen dengan teknologi AR (realiti terimbuh) dan VR (realiti maya) untuk meningkatkan penceritaan bagi penyiaran dan penyampaian," ujar Encik Iswaran.
September lalu, Singapura melancarkan 5G Living Lab@PIXEL bagi membolehkan syarikat untuk berinovasi dengan aplikasi 5G.
Encik Iswaran berkata demikian semasa berucap di majlis pembukaan Asia TV Forum & Market semalam, yang merangkumi pasar dagang maya, sidang dan peluang pemadanan perniagaan, yang kali ini diadakan secara dalam talian.
Dalam ucapannya itu, Encik Iswaran mengupas usaha yang dilakukan Singapura untuk mengekalkan daya saingnya bagi merebut peluang dalam pasaran media Asia.
Selain membangun prasarana digital yang kukuh, Singapura menyokong usaha inovasi dan memperkukuh gabungan antara media dan teknologi.
Sejak Penguasa Pembangunan Infokom (IDA) dan Penguasa Pembangunan Media (MDA) digabungkan pada 2016, terdapat beberapa inisiatif untuk memperkukuh gabungan antara media dan teknologi.
Satu contoh ialah PIXEL lab oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), satu kemudahan khas yang menawarkan ruang dan peralatan kepada pencipta kandungan, syarikat media dan penginovasi teknologi untuk bereksperimen dan membina pengalaman digital baru.
Di samping itu, Singapura juga sedang membangun keupayaan syarikat dan karyawan media setempat dan serantau untuk meraih peluang daripada pasaran global dan serantau.
Di bawah Program Kerjasama Keupayaan IMDA yang dilancarkan tahun lalu, Singapura telah membangun beberapa projek yang menawarkan peluang bagi SME media setempat untuk bekerjasama dengan pemain media global.
Siri kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada 90 syarikat media setempat dan lebih 700 karyawan media pada 2021 menerusi penciptaan kerja dan peluang untuk meningkatkan kemahiran.
Satu projek seperti itu ialah program latihan Audible Accelerator, yang menerbitkan cerita dalam siri audio dan dibuka kepada pengguna antarabangsa menerusi platform Audible.
Dalam pada itu, Singapura juga mempunyai program dan inisiatif untuk membantu karyawan media untuk meningkatkan kemahiran, dan memupuk generasi seterusnya bakat setempat dalam industri media.
Sebagai sebahagian daripada usaha it, IMDA telah melancarkan program perantisan Story Lab Apprenticeship yang memberi peluang kepada karyawan media muda meraih pengalaman dalam syarikat media mapan.
Seramai 28 karyawan membentuk kumpulan pertama untuk menyertai program itu dan memulakan latihan mereka pada Januari lalu, kata Encik Iswaran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg