Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura di tangga kelapan tahap ketidaksamaan jantina rendah di dunia

May 10, 2024 | 2:47 PM
Jurang pengambilan pekerja antara kaum lelaki dengan wanita juga semakin rapat kepada 12.4 mata peratusan.
Jurang pengambilan pekerja antara kaum lelaki dengan wanita juga semakin rapat kepada 12.4 mata peratusan. - Foto ST

Kemajuan penting telah dibuat sepanjang beberapa tahun lalu untuk meningkatkan kesaksamaan jantina di Singapura, dengan lebih banyak perwakilan wanita di tempat kerja dan dalam peranan kepimpinan.

Singapura menduduki tempat kelapan dalam senarai 166 negara dan pertama di rantau Asia-Pasifik kerana mempunyai tahap ketidaksamaan jantina rendah dalam Indeks Ketidaksamaan Jantina terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang dikeluarkan pada Mac 2024. 

Denmark berada di tangga pertama, disusuli Norway dan Switzerland.

Sebelum ini, Singapura menduduki tempat ketujuh pada 2021. 

Kemajuan itu diketengahkan dalam laporan terkini yang mencatatkan kemajuan pembangunan wanita – yang pertama sejak Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura diterbitkan pada 2022 – oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 10 Mei.

Laporan tersebut akan diterbitkan setiap tahun, lapor akhbar, The Straits Times.

Dalam masa dua tahun sejak Kertas Putih itu diterbitkan, laporan tersebut berkata Singapura telah mencapai kemajuan ketara dalam bidang seperti peluang sama rata di tempat kerja, sokongan penjaga yang lebih besar serta pengukuhan perlindungan terhadap keganasan dan bahaya dalam talian.

“Penyertaan wanita dalam tenaga kerja kekal meningkat.

“Wanita juga semakin diwakili dalam pekerjaan yang secara tradisi dikuasai kaum lelaki, seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, serta dalam peranan kepimpinan,” kata kementerian itu. 

Kadar pekerjaan penduduk tempatan dalam kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun bertambah baik sepanjang sedekad lalu, meningkat daripada 69.2 peratus pada 2013 kepada 76.6 peratus pada 2023.

Jurang pengambilan kerja antara kaum lelaki dengan wanita juga semakin rapat kepada 12.4 mata peratusan.

Lebih ramai wanita turut menyandang jawatan dalam pekerjaan karyawan, pengurusan, eksekutif dan teknisyen. Ia meningkat daripada 42.3 peratus pada 2013 kepada 46.7 peratus pada 2023.

Jurang gaji jantina yang tidak diselaraskan bagi pekerja tempatan sepenuh masa berusia 25 hingga 54 turut kian merapat daripada 16.3 peratus pada 2018 kepada 14.3 peratus pada 2023.

Ini dikira sebagai perbezaan peratusan yang jelas antara purata gaji setiap jantina.

Apabila membandingkan lelaki dan wanita dari segi usia, pendidikan dan pekerjaan, jurang gaji jantina yang diselaraskan ialah 6 peratus pada 2023. Ini turun daripada 6.7 peratus pada 2018.

Jurang gaji jantina yang diselaraskan mencerminkan ciri yang tidak terukur, seperti perbezaan kesan keibubapaan dan tanggungjawab pengasuhan, dengan kaum wanita cenderung memikul lebih banyak tanggungjawab berbanding lelaki.

Dalam pada itu, MSF berkata beberapa strategi telah dilaksanakan untuk menangani keganasan dan melindungi wanita merentasi pelbagai sektor – rumah, sekolah, tempat kerja dan di tempat awam.

“Melangkah ke hadapan, usaha memperkukuh langkah keselamatan akan diteruskan dan berkembang merentasi pelbagai domain,” ujar MSF.

Namun, kesalahan seksual dan yang menyebabkan kecederaan terhadap wanita masih berlaku, kata kementerian itu dalam laporan tersebut. 

Jumlah wanita yang menjadi mangsa rogol meningkat daripada 4.8 setiap 100,000 pada 2013 kepada 15 setiap 100,000 pada 2022.

Jumlah wanita yang menjadi mangsa cabul kekal stabil dalam tempoh sama, dengan 58.4 mangsa bagi setiap 100,000 wanita pada 2022.

Menerusi perundangan dan penguatkuasaan, pemerintah terus memandang serius mengenai sebarang kejadian keganasan seksual terhadap wanita, termasuk rogol dan cabul, kata MSF.

Laporan itu turut menyatakan bahawa bahaya dalam talian kini menjadi satu bentuk ancaman baru terhadap keselamatan wanita.

Tinjauan 2023 oleh pertubuhan bukan mencari untung, SG Her Empowerment (SHE), mendapati remaja wanita lebih berisiko menjadi mangsa dalam talian yang bersifat seksual, dengan 22 peratus melaporkan mengalami gangguan seksual dalam talian berbanding 12 peratus remaja lelaki.

Pemerintah telah memperkenalkan satu set langkah perundangan untuk menangani kandungan dan perilaku dalam talian yang berbahaya, termasuk yang disasarkan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan.

Kementerian itu berkata semua rakyat Singapura juga mempunyai “peranan untuk memperkukuh budaya keselamatan dan rasa hormat melalui tindakan dan tabiat harian mereka”.

“Lelaki dan wanita boleh secara aktif bersuara menentang sikap tidak hormat dan merendahkan kaum wanita. Bersama-sama, kita boleh mewujudkan persekitaran apabila wanita dan gadis kita berasa selamat dan dihormati.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg