Singapura akan menyerahkan pakej bantuan kemanusiaan ketiga untuk Gaza semasa Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan mengadakan lawatan bertugas ke Amman, Jordan pada 16-17 Mac.
Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) akan bekerjasama dengan Angkatan Bersenjata Jordan untuk menghantar bantuan kecemasan di kawasan konflik Israel-Palestin, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan pada 15 Mac.
Ia telah menghantar dua pesawat - pesawat pengisi bahan api A330 Multi-Role Tanker Transport (MRTT) dan pesawat pemunggah C-130.
Pesawat C-130 itu akan mengambil bahagian dalam operasi melepaskan bantuan kecemasan dari udara.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata 69 kakitangan yang terlibat dalam operasi itu telah berangkat ke Amman, Jordan pada dini hari 15 Mac.
Pesawat MRTT berangkat dari Pangkalan Udara (Timur) Changi, sementara pesawat C-130 berangkat dari Pangkalan Udara Paya Lebar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong telah mengutus surut kepada Raja Jordan, Abdullah II Al Hussein untuk merakamkan penghargaan Singapura kepada kerajaan negara itu dalam usaha mengendalikan bantuan kemanusiaan Singapura ke Gaza.
Dalam surat tersebut, Encik Lee berkata:
“Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Angkatan Udara Kerajaan Jordan untuk menjatuhkan dari udara bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
RSAF akan menghantar pesawat A330 Multi-Role Tanker Transport (MRTT) dan pesawat pemunggah C-130 untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan.
Memandangkan keadaan kemanusiaan yang amat serius di Gaza, masyarakat antarabangsa harus bekerjasama untuk mengurangkan penderitaan dan menyelamatkan seberapa banyak mungkin, nyawa tidak bersalah. Singapura akan melakukan apa yang termampu untuk membantu pihak awam di Gaza.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg