Satu pasukan yang terdiri daripada pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berlepas ke Nepal pada 1 dan 2 September bagi menyokong pihak berkuasa negara itu dalam usaha bantuan bencana.

Penghantaran pasukan itu dibuat susulan permintaan Nepal, selepas banjir besar akibat hujan lebat mengorbankan lebih 1,000 orang di sepanjang sempadan Nepal-China.

Dalam satu kenyataan pada 2 September, polis berkata pasukan tersebut terdiri daripada 17 pegawai polis dan dua pegawai daripada Divisyen Perubatan Forensik HSA.

Polis menambah bahawa satu lagi pasukan yang terdiri daripada 14 pegawai akan dikerahkan dalam beberapa hari akan datang bagi memperkukuh usaha bantuan berkenaan.

Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri, Cik Sim Ann, berada di Lapangan Terbang Changi pada 1 September untuk menghantar pasukan pendahulu berkenaan.

Kontinjen seramai 33 anggota itu diketuai Komander Kontinjen, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Patrick Tan.

Menurut polis, pasukan itu turut merangkumi pegawai yang mempunyai kepakaran dalam Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) dan pengawasan udara bagi memberikan sokongan kepada pihak berkuasa Nepal dalam bidang berkenaan.

Sembilan warga Singapura dilaporkan hilang dalam kejadian banjir tersebut.

Mereka dikenal pasti sebagai Encik Rengarajan Prabu, Cik Shalinny Deavy Elan Sozan, Encik Subramaniam Diraviam, Encik Rajesvaran Ayyavoo, Cik Estee Loeh, Cik Ghosh Aditi, Encik Ng Kit Kuen, Cik Shubakshi Rawla dan Encik Sumit Rawla.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 31 Ogos berkata Singapura akan menghantar bekalan kemanusiaan dan anggota untuk membantu Nepal dalam usaha bantuan bencana.

Pemerintah Singapura juga akan menghantar bekalan awam dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), selain sumbangan Pemerintah sebanyak AS$100,000 (S$127,000) kepada Palang Merah Singapura.

Usaha mengumpul dana oleh pertubuhan itu telah meraih lebih $1 juta.

Pertubuhan kemanusiaan Mercy Relief pula akan menyalurkan bantuan kecemasan bernilai $120,000 kepada masyarakat yang terjejas akibat bencana di Nepal.