Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

S’pura hilang tokoh bahasa, budaya yang sangat dihormati... bak gugurnya sebutir permata

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura hilang tokoh bahasa, budaya yang sangat dihormati... bak gugurnya sebutir permata

Feb 27, 2024 | 08:20 PM



Masyarakat Melayu, terutama pejuang bahasa dan budaya, terasa kehilangan seorang tokoh dan perintis sastera yang sangat dihormati, Allahyarham Suratman Markasan, yang berpulang pada awal pagi, 27 Februari.

Sepanjang hidupnya, Allahyarham Suratman telah menyumbang dari segi karya, tenaga dan usaha kepimpinan yang menonjolkan cintanya kepada bahasa dan sastera, dan keprihatinannya pada masyarakat.

Sebagai penulis, karya beliau yang pertama merupakan sebuah sajak, Hati Yang Kosong, yang ditulis pada 1954, pada usia 24 tahun.


Novel pertamanya, Tak Ada Jalan Keluar, menyusul pada 1958 tetapi hanya dicetak pada 1962.


Karya beliau terus mendapat perhatian dan Allahyarham merangkul beberapa anugerah untuk penulisannya, termasuk anugerah Pingat Budaya pada 2010 dan yang paling terbaru, Hadiah Sastera Singapura pada 2021, pada usia 91 tahun – sekali gus menempatkan Allahyarham sebagai penerima tertua anugerah itu.

Sejak muda, Allahyarham aktif menyumbang kepada masyarakat, terutama dalam bidang pendidikan.

Pada 1980, Allahyarham menyandang jawatan Pengarah untuk Mata Pelajaran Bahasa Melayu dan Tamil di Kementerian Pendidikan selain memegang jawatan Pengerusi Majlis Hadiah Sastera di bawah Majlis Pusat Singapura dari 1979 hingga 1985.

Allahyarham juga berkhidmat sebagai Setiausaha Angkatan Sasterawan atau Asas ’50 (Gerakan Sastera Melayu 50-an) pada 1973 dan juga Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS); Pensyarah di Institut Pendidikan (September 1981-1995); Naib Pengerusi Koperasi Pelbagai Guna Guru Melayu Singapura (1981-1982); dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Darussalam (1997).

Penglibatan dan sumbangannya kepada masyarakat tidak terkira dan semangatnya untuk berbakti tidak pernah pudar, walau sudah memanjat usia.

Berita Harian (BH) sempat bercakap dengan beberapa tokoh dan pemimpin negara yang hadir sewaktu pengurusan jenazah di kediaman Allahyarham pada Selasa.







Mantan Setiausaha Parlimen Kanan yang juga mantan Editor BH, Encik Yatiman Yusof, yang juga seorang teman seperjuangan, berkata beliau tabik usaha Allahyarham yang tidak pernah kenal penat.

“Semasa sedang sakit, Allahyarham mengerjakan tiga karya – sebuah novel, sajak dan karangan – menunjukkan bahawa tenaga yang dimilikinya, sisa daripada perjuangan Asas ‘50 itu masih bersemarak di sanubarinya,” kata beliau.

Sasterawan dan cendekiawan, Profesor Madya Emeritus Hadijah Rahmat, yang juga penerima Anugerah Jauhari BH pada 2022, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang luar biasa.

“Kepulangan seorang tokoh yang hebat dan seorang pejuang yang luar biasa. Saya lihat kegigihan dan kesungguhan Almarhum untuk memperjuangkan bahasa, budaya, bangsa, agama dan kemanusiaan. Saya rasa tidak ada gantinya. Ini berdasarkan pengalaman saya yang mendapat bimbingan dan didikan beliau, semasa saya menjadi mahasiswa di Universiti Nasional Singapura (NUS).”

Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, menulis di Facebook bahawa kehilangan Allahyarham bak gugurnya sebutir permata.

Menurut beliau, puisi-puisi Allahyarham mengetengahkan keprihatinannya berkaitan dengan masyarakat lebih-lebih lagi golongan belia dan memperjuangkan nasib golongan yang tertindas, seperti yang terdapat dalam kumpulan puisi beliau, Potret Diri Seorang Yang Bernama Aku (1979) dan Puisi Luka (1991).


Sebuah dokumentari berjudul Bicara Budiman Suratman Markasan: Catatan Seorang Cendekia pernah diterbitkan untuk memperingati jasa dan sumbangan beliau oleh Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) pada 2023. Dokumentari yang dibahagikan kepada lima bahagian merakam dan mendokumentasi perjuangan dan pengalaman Allahyarham sebagai seorang pendidik tersohor dan sasterawan.


Ia juga memaparkan latar belakang kehidupan, pendidikan, perjuangan, buah fikiran, pandangan, falsafah dan harapannya sebagai seorang pendidik dan sasterawan, yang kini berpulang ke rahmatullah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >