Singapura menghulurkan pakej bantuan kemanusiaan bernilai sekitar $560,000 kepada Nepal yang terjejas teruk akibat banjir.

Pada 4 September, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, menyaksikan penyerahan pakej bantuan itu kepada Konsul Kehormat Nepal di Singapura, Cik Helen Campos, di Kementerian Ehwal Luar (MFA) di Tanglin.

Pakej tersebut merangkumi bekalan bantuan kemanusiaan dan tindak balas kecemasan, termasuk bekalan perubatan, kit ujian DNA serta peralatan perlindungan diri.

Ia turut meliputi peralatan khusus bagi menyokong usaha pencarian, pemulihan dan pengenalpastian mangsa bencana yang sedang dijalankan.

Menyampaikan ucapan takziah kepada pemerintah dan rakyat Nepal atas kehilangan nyawa serta kemusnahan yang disebabkan banjir minggu lalu, Cik Gan berkata: “Singapura berdiri teguh bersama Nepal dalam menghadapi tempoh yang sukar ini.

“Pakej bantuan kemanusiaan yang kami serahkan hari ini disediakan menerusi kerjasama rapat antara beberapa agensi Singapura dengan pihak berkuasa Nepal, bagi menyokong usaha pencarian dan pemulihan yang sedang dijalankan di Nepal.”

Singapura turut menyediakan bentuk sokongan lain kepada Nepal. Pasukan Polis Singapura (SPF), dengan sokongan Agensi Sains dan Teknologi Pasukan Home Team (HTX) serta Penguasa Sains Kesihatan (HSA), menghantar pegawai yang mempunyai kepakaran dalam pengenalpastian mangsa bencana dan pemantauan udara bagi membantu pihak berkuasa Nepal.

Pada 26 Ogos, banjir kilat melanda beberapa kawasan di Tibet dan Nepal, sehingga memusnahkan seluruh perkampungan.

Sehingga 3 September, angka korban melebihi 1,200 orang, manakala lebih 5,000 lagi masih hilang, termasuk sembilan warga Singapura.

Cik Gan, yang juga Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan, berkata Pasukan Tindak Balas Krisis MFA telah berada di Nepal sejak 27 Ogos dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengesan warga Singapura yang masih hilang.

Pakej bantuan kemanusiaan itu menyusuli sumbangan awal pemerintah Singapura sebanyak AS$100,000 (S$127,000) kepada usaha pengumpulan dana awam Palang Merah Singapura.

Sehingga kini, kempen Palang Merah itu telah mengumpulkan lebih $3 juta.

Menurut Cik Gan, pakej bantuan tersebut menjadi bukti hubungan rapat antara Singapura dengan Nepal.

“Kami berharap sumbangan sederhana ini dapat menyokong lelaki dan wanita yang berani di lapangan, serta membawa sedikit keselesaan dan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat tragedi ini.

“Kami bersedia memberikan sokongan selanjutnya selaras dengan keperluan Nepal,” katanya.