Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S'pura, Indonesia teroka kerjasama ekonomi digital, kemampanan

Mar 17, 2023 | 5:30 AM
BINCANG TENTANG KERJASAMA: Encik Lee Hsien Loong (tengah, kanan) dan Encik Joko Widodo (tengah, kiri) bersama delegasi masing-masing berbincang mengenai pelbagai bidang kerjasama semasa Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia 2023 di Istana. - Foto ST
BINCANG TENTANG KERJASAMA: Encik Lee Hsien Loong (tengah, kanan) dan Encik Joko Widodo (tengah, kiri) bersama delegasi masing-masing berbincang mengenai pelbagai bidang kerjasama semasa Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia 2023 di Istana. - Foto ST -

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo telah membincangkan bidang kerjasama baru termasuk dalam ekonomi digital, kemampanan dan pembangunan modal insan.

Mengumumkan demikian semasa sidang media bersama sempena Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia 2023 di Istana pada Khamis, Encik Lee berkata beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani.

Antaranya ialah MOU bagi Program Tech:X yang membolehkan profesional teknologi dari Singapura dan Indonesia melakukan pertukaran kerja dan mendapat pengalaman daripada industri teknologi masing-masing.

MOU bagi Kerjasama Tenaga Boleh Diperbaharui juga telah ditandatangani.

Ini akan menyokong pengaturan komersial berkaitan pembangunan kebolehan tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur penghantaran dan perdagangan elektrik rentas sempadan.

MOU bagi Pembangunan Bandar dan Perumahan Mampan juga ditandatangani, memudahkan kerjasama dalam membangunkan pembiayaan inovatif untuk pembangunan infrastruktur bijak dan mampan, termasuk bagi projek Nusantara.

Projek tersebut bertujuan mewujudkan bandar mampan dan bijak seluas 2,561 kilometer persegi, iaitu sekitar tiga kali ganda saiz Singapura.

"Singapura bersedia menyokong visi Presiden (Jokowi) bagi projek Nusantara, dan akan menyumbang terhadap perkongsian ilmu dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan," kata Encik Lee.

Mengulas tentang hal serupa, Encik Jokowi dalam ucapannya berkata beliau menyambut baik respons daripada pihak Singapura, termasuk besarnya minat pelabur dari sini terhadap pembangunan Nusantara.

Setakat ini, tambahnya, sudah terdapat 20 surat niat (LOI) daripada sektor swasta Singapura untuk melabur dalam Nusantara.

Dalam pada itu, Singapura dan Indonesia juga telah memperdalam kerjasama dalam bidang-bidang seperti keselamatan, kesihatan dan kewangan.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Agensi Mencari dan Menyelamat Negara Indonesia telah menandatangani MOU bagi Pencarian dan Penyelamatan Bandar.

Dalam bidang kesihatan pula, sebuah MOU ditandatangani untuk menggalakkan pertukaran maklumat, pengetahuan, data dan teknologi.

Singapura dan Indonesia juga telah melanjutkan Perjanjian Kewangan Dua Hala antara bank-bank pusat kedua-dua negara bagi tahun keempat berturut-turut.

Secara keseluruhan, enam persetujuan telah ditandatangani antara kedua-dua negara.

Rahat Pemimpin kali ini merupakan yang keenam bagi kedua-dua pemimpin Singapura dan Indonesia dan telah dimulakan dengan istiadat sambutan khas bagi Encik Jokowi di Istana.

Encik Jokowi diiringi delegasi peringkat tinggi yang terdiri beberapa Menteri.

Delegasi Singapura pula termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; serta Menteri Kabinet lain.

Encik Lee dan Encik Jokowi turut mengesahkan hubungan erat kedua-dua negara, dengan perdana menteri Singapura itu mengatakan "hubungan dua hala kami amat cemerlang".

"Hubungan dua hala kita amat cemerlang. Kita telah mengambil langkah utama ke hadapan untuk menyelesaikan isu-isu utama yang sudah lama belum terlerai. Kita bersedia bekerjasama dalam bidang-bidang baru yang mendalam, rencam, berpandangan ke hadapan dan saling menguntungkan." - Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

"Banyak kemajuan yang tercapai sejak pertemuan kita di Bintan pada Januari 2022. Pelaburan Singapura ke Indonesia naik lebih 40 peratus dan jumlah perdagangan kita naik 25 peratus." - Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg