Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Johor bincang tubuh zon ekonomi khas

Jul 14, 2023 | 7:35 PM
UMUMKAN RANCANGAN: (Dari kiri) Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, menyampaikan kenyataan bersama kepada media semasa mesyuarat JMCIM ke-16 di Hotel Shangri-la pada Jumaat.
UMUMKAN RANCANGAN: (Dari kiri) Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, menyampaikan kenyataan bersama kepada media semasa mesyuarat JMCIM ke-16 di Hotel Shangri-la pada Jumaat. - Foto ST

Singapura dan Malaysia sedang berbincang untuk menubuhkan sebuah zon ekonomi khas di Johor dan Singapura.

Ini bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi serta mengukuhkan keterhubungan dan kerjasama ekonomi demi manfaat rakyat kedua-dua negara, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada Jumaat.

Sebuah pasukan bertindak khas akan dibentuk di bawah Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) Malaysia-Singapura untuk mengkaji Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura itu, kata Encik Lee, yang merupakan pengerusi bersama jawatankuasa tersebut bersama Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli.

Sebagai permulaan, pasukan bertindak itu akan melakarkan bidang tugas bagi kerjasama kedua-dua negara dalam zon ekonomi khas itu.

Ia akan melaporkan perkembangannya kepada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia pada Oktober, kata kedua-dua menteri itu dalam satu sidang media di Hotel Shangri-la.

Mereka membuat pengumuman itu di sisi mesyuarat JMCIM, sebuah acara tahunan bagi Singapura dan Malaysia untuk menyemak kerjasama di zon ekonomi Iskandar di Selatan Johor.

Mesyuarat JMCIM ke-16 itu pada Jumaat dihos bersama Encik Desmond Lee dan Encik Rafizi.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Zon ekonomi khas itu akan meningkatkan lagi pertumbuhan kukuh negeri Johor serta pelbagai pelaburan di rantau ini oleh Singapura, kata mereka dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat itu.

Johor mencatatkan pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion ($20.47 bilion) pada 2022 dalam pelbagai sektor termasuk bidang elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, perkilangan makanan dan pusat data.

Singapura merupakan pelabur kedua terbesar di negeri selatan semenanjung Malaysia itu.

Negara ini juga menyumbang sekitar 70 peratus pelaburan langsung asing Johor dalam sektor perkilangan, menurut kenyataan itu.

Encik Lee berkata zon ekonomi khas itu, yang disokong padu oleh kedua-dua pihak, akan membawa manfaat dari segi pekerjaan dan mata pencarian rakyat kedua-dua negara.

Tambahnya, ia juga akan membina lagi bidang kerjasama di bawah JMCIM antara lain dari segi keterhubungan pengangkutan, inovasi, ekosistem perniagaan, sekitaran, pelancongan serta latihan kemahiran dan teknikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg