SINGAPURA sedang mengkaji perkembangan mengenai 'greenwashing', atau dakwaan palsu oleh pertubuhan yang produk mereka mesra alam, di bidang kuasa lain "untuk menilai sama ada mana-mana panduan atau peraturan khusus akan berguna dalam konteks Singapura", kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, di Parlimen pada Selasa.
Ini walaupun skop Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) buat masa ini, adalah "cukup luas" untuk menangani dakwaan produk mesra alam oleh seorang pembekal dalam urus niaga perniagaan kepada pengguna, kata Encik Tan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja, Encik Leon Perera, yang telah bertanya tentang penguatkuasaan yang diambil terhadap dakwaan sedemikian di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) dalam tempoh lima tahun lalu, dan kemungkinan perundangan berkaitannya pada masa hadapan.
Menurut Encik Perera, sesetengah negara telah menggubal undang-undang apabila sesuatu jenama membuat tuntutan hijau, mereka mesti menyediakan dokumentasi sokongan kepada pihak berkuasa atau melalui audit bebas.
Dalam jawapannya, Encik Tan menjelaskan bahawa Persatuan Pengguna Singapura (Case) dan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura tidak menerima sebarang aduan khusus yang mendakwa berlakunya pemanipulasian maklumat oleh sesebuah organisasi yang mendakwa produknya mesra alam sekitar kepada orang awam.
Beliau menambah bahawa terdapat garis panduan sedia ada di bawah Kod Amalan Pengiklanan Singapura untuk memastikan pengiklan memberikan keterangan yang jelas, membuktikan dengan secukupnya dan membuktikan sebarang sebarang tuntutan alam sekitar jika perlu.
Encik Tan juga bersetuju bahawa isu berkaitan dengan dakwaan palsu mengenai produk mesra alam semakin menarik minat dalam kalangan penguasa perlindungan pengguna dan sekitaran di banyak negara, yang antaranya telah menggubal undang-undang baru.
Sebuah pertubuhan tidak meraih keuntungan berpangkalan di Singapura telah dua kali menjadi tumpuan siasatan oleh berita antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Rangkaian berkempen global bebas, Greenpeace, telah menyifatkan pertubuhan itu satu penipuan industri yang direka untuk membolehkan pengeluaran plastik yang tiada hentinya.
Namun dakwaan itu telah dinafikan oleh pertubuan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg