Pemerintah bakal meminda Akta Ketakmampuan Bayar (Insolvency), Penyusunan Semula, dan Pembubaran 2018 (Irda).

Ia bagi memperjelaskan bahawa pengurusan kehakiman merupakan satu proses pemulihan, dengan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang berkenaan di Parlimen dijadualkan pada akhir 2026 atau awal 2027.

Sewaktu berucap di Persidangan Ketakmampuan Bayar Singapura pada 21 Oktober, Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata proses pengurusan kehakiman sejak ia diperkenalkan 40 tahun lalu di Singapura tidak selalu memenuhi tujuannya.

Ia termasuk menyelamatkan perniagaan terjejas yang masih berdaya saing, serta memelihara nilainya.

“Sering kali, ia menjadi petanda awal kepada pembubaran, sekali gus menambah masa dan kos tanpa semestinya mencapai pemulihan yang bermakna.

“Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Encik Tong.

Pada Mei, Kementerian Undang-Undang (MinLaw) telah menerima cadangan penambahbaikan yang dibuat pada 2025 oleh Jawatankuasa bagi Mempertingkat Rejim Penstrukturan Semula Korporat dan Ketakmampuan Bayar, menyusuli satu perundingan awam.

Encik Tong menegaskan pembubaran awal boleh memusnahkan nilai perniagaan, dan masalah kewangan tidak semestinya bermakna perniagaan itu tidak lagi berdaya saing.

“Syarikat itu berkemungkinan mempunyai asas perniagaan yang sangat kukuh dan aset yang baik, tetapi mempunyai beban hutang yang tidak mampu ditanggung atau mengalami masalah kecairan sementara.

“Dalam keadaan sedemikian, pembubaran awal atau hal pentadbiran yang berpanjangan boleh menghancurkan perniagaan mereka,” kata Encik Tong, yang juga merupakan Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri.

“Dalam ekonomi yang matang seperti Singapura, kitaran perniagaan serta pasang surut merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Ia akan berulang, dan industri akan melalui fasa pertumbuhan dan kemerosotan.

“Kita memerlukan rangka kerja penstrukturan semula yang lebih kukuh bagi membolehkan perniagaan pulih dan menampung hal yang tidak diduga daripada pasang surut berkenaan,” tambah beliau.

Di bawah pengurusan kehakiman, kawalan sesebuah syarikat yang mengalami masalah kewangan diletakkan secara sementara di bawah pengurus kehakiman bebas yang dilantik oleh mahkamah.

Ia bertujuan untuk memastikan syarikat kekal bertahan atau merangka pelan penstrukturan semula hutang.

Justeru, syarikat berkenaan dilindungi daripada tindakan undang-undang oleh pemiutang sepanjang tempoh ini.

Perniagaan tersebut biasanya akan beralih kepada pembubaran dan penutupan sekiranya pemiutang menolak cadangan pelan penyelamatan oleh pengurus kehakiman.

Sebagai sebahagian daripada pindaan Irda, pemohon bagi pengurusan kehakiman mestilah dapat menjelaskan bagaimana proses berkenaan dijangka dapat memulihkan syarikat atau perniagaannya, serta manfaat nyata berbanding pembubaran syarikat.

Pihak syarikat serta pengarahnya, atau pemiutang boleh memohon perintah pengurusan kehakiman daripada mahkamah.

Sekiranya pengurusan kehakiman gagal memulihkan syarikat dan ia diteruskan kepada pembubaran, keadaan yang membawa kepada kegagalan tersebut mestilah dijelaskan.

Pengurus kehakiman juga biasanya tidak akan dibenarkan untuk beralih mengambil peranan sebagai pembubar bagi syarikat berkenaan.

“Bukan setiap usaha menyelamatkan perniagaan itu akan berhasil, walaupun pada awalnya terdapat prospek yang baik untuk penstrukturan semula yang berjaya.

“Namun, apa yang penting adalah untuk memastikan pengurusan kehakiman diusahakan atas sebab yang betul, dengan matlamat yang jelas dan, yang paling utama dalam hal ini, kebertanggungjawaban terhadap hasil yang disasarkan,” kata Encik Tong.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan