WALAUPUN Singapura negara yang kecil, ia mengenal pasti perlunya menyumbang kepada usaha global untuk memerangi Covid-19 dan kekal komited menyokong usaha ini, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Dr Balakrishnan berkata Singapura akan terus bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memperkukuhkan tahap kesediaan kecemasan kesihatan, sedang badan itu menyifatkan 2022 sebagai tahun menamatkan peringkat akut pandemik ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) mengenai sumbangan negara ini dalam usaha global semalam.

Dalam jawapannya itu, Dr Balakrishnan menggariskan antara usaha dan sumbangan yang dilakukan dalam usaha global.

"Pandemik ini memerlukan semua negara memainkan peranan mereka agar kita dapat bangkit daripada pandemik lebih awal dan lebih berdaya tahan sebagai sebuah masyarakat global.

"Hakikatnya, dalam menangani satu pandemik global, tiada yang selamat sehingga semua selamat.

"Disebabkan ini, kami telah terus menyokong usaha global dan serantau untuk menangani Covid-19."

Menurut Dr Balakrishnan, Singapura telah menjadi anggota dalam Lembaga Eksekutif WHO selama tiga penggal sejak Mei 2019 dan telah menyumbang kepada Komitmen Pasaran Maju Covax serta Dana Respons Asean Covid-19.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Singapura merupakan penyokong awal bagi fahaman berbilang hala dan mendapatkan sokongan bagi Kemudahan Covax, serta mengasaskan bersama kumpulan Kawan kepada kumpulan Kemudahan Covax dengan Switzerland.

"Semasa pandemik, kami kekal komited untuk mengekalkan keterbukaan kita sebagai hab logistik, pengangkutan dan tenaga.

"Pelabuhan laut dan udara terus dibuka bagi mengurangkan gangguan bekalan global dan memastikan aliran bekalan kritikal tidak terganggu seperti vaksin, perubatan dan makanan, yang bukan hanya memanfaatkan Singapura tetapi negara lain juga," jelas beliau.