Singapura akan melaburkan sebanyak $800 juta bagi lima tahun seterusnya dalam penyelidikan, inovasi dan ketersambungan pengangkutan demi menyokong usaha yang dapat menjana transformasi ekosistem pengangkutan di sini.

Ini sedang negara ini menggiatkan usaha untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab pengangkutan sejagat dan membangunkan keupayaan dalam teknologi berdaya maju, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

Berucap di sidang Parlimen pada 7 Julai, beliau berkata pelaburan itu – di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 – penting tatkala pengangkutan menjadi salah satu sektor penyumbang terbesar untuk ekonomi Singapura.

Ia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), menukil perangkaan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).

Semasa membahaskan usul berkenaan usaha mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab pengangkutan sejagat yang diketengahkan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pengangkutan, Cik Tin Pei Ling, beliau berkata:

“Dalam era kecerdasan buatan (AI), penting untuk mendapatkan kejelasan terhadap perkara yang menjadikan Singapura berjaya.

“Pihak yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan barangan dan para pengunjung (ke sini) memilih Singapura bukan kerana kita mempunyai teknologi proprietari terbaik… tetapi kita lebih cekap, lebih terhubung dan lebih andal berbanding alternatif lain.”

Lantaran itu, penting bagi Singapura mengambil pendekatan yang lebih bersifat tertumpu untuk masa hadapan bagi sektor pengangkutan, ujar Encik Siow.

Beliau menukil depoh MRT automatik yang dapat menyelenggara dan memperbaiki gerabak atau kereta api MRT dengan lebih cekap sebagai antara contoh usaha yang dapat memacu transformasi pengangkutan di sini.

Menjelaskan lebih lanjut berkenaan pelaburan itu, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, berkata penyelidikan dan daya inovasi kian menjadi tonggak agar Singapura kekal kompetitif.

Ini lebih-lebih lagi sedang Singapura berdepan tenaga kerja yang semakin ketat, ruang terhad dan cabaran iklim, katanya.

Oleh demikian, beliau berkata sekitar dua pertiga daripada $800 juta telah diperuntukkan untuk membina keupayaan dalam aspek aliran autonomi dan huraian Digital Twin (program komputer menggunakan data dunia nyata bagi wujudkan simulasi).

Dalam kenyataan MOT berikutan perbahasan Parlimen pada 7 Julai, aliran autonomi bertujuan membolehkan operasi pengangkutan yang tidak berlandaskan tenaga manusia sepenuhnya pada skala besar secara selamat merentasi darat, udara dan laut, dengan menggabungkan wadah autonomi, AI dan robotik.

Huraian Digital Twin pula bertujuan membolehkan kejelasan, ramalan dan penyelarasan aliran kargo dan penumpang merentasi wadah pengangkutan darat, laut dan udara, dengan sokongan simulasi yang dipacu AI.

Menurut MOT, ini akan membantu dalam perancangan dan pengurusan pergerakan barangan dan penumpang sebagai satu sistem yang terhubung.

Sepertiga daripada pelaburan itu pula akan disalurkan untuk penyelidikan khusus bagi memperdalam keupayaan dalam tiga sektor.

Ia merangkumi membina keupayaan hab udara didorong teknologi bagi sektor penerbangan; operasi pelabuhan dan kapal pintar dan mampan bagi sektor maritim; serta teknologi pengangkutan awam canggih serta depoh automatik bagi sektor pengangkutan darat.

Usul yang dibawa oleh Cik Tin, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, dibahaskan oleh 23 Anggota Parlimen.

Ini di samping tiga anggota Kabinet termasuk Encik Siow, Encik Baey dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling. Usul tersebut telah diterima sebulat suara oleh anggota Dewan selepas perbahasan selama hampir enam jam.