Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lancar 4 inisiatif baharu bantu syarikat manfaat AI
S’pura lancar 4 inisiatif baharu bantu syarikat manfaat AI
Singapura melancarkan empat inisiatif baharu bagi menyokong syarikat dalam meningkatkan keupayaan mereka untuk melaksanakan dan memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta memanfaatkan teknologi itu bagi mentransformasikan perniagaan masing-masing.
Inisiatif tersebut mencerminkan pengiktirafan Singapura bahawa AI akan menjadi pemacu utama gelombang inovasi seterusnya dalam masa terdekat, sekali gus mengubah cara idea, produk dan perkhidmatan baharu dibangunkan serta dikomersialkan.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong mengumumkan inisiatif itu semasa Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura 2026 (Switch) pada 27 Oktober.
Beliau berkata Singapura akan meneroka pelbagai cara untuk memastikan AI dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan oleh industri dan tenaga kerjanya, bagi membina ekonomi yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif.
“AI menawarkan peluang untuk meningkatkan produktiviti serta membangunkan produk dan keupayaan baharu,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian acara tersebut yang berlangsung di Marina Bay Sands.
Inisiatif itu menyusuli pengumuman empat misi AI kebangsaan — pembuatan termaju, kewangan, penjagaan kesihatan dan ketersalinghubungan — oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong semasa Belanjawan 2026.
Diterajui Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dengan kerjasama agensi pemerintah lain, inisiatif baharu itu merangkumi program Champions of AI yang bertujuan membantu syarikat berpangkalan di Singapura yang bercita-cita tinggi dan komited untuk menjadikan AI sebagai pemacu utama pertumbuhan perniagaan mereka.
1. Program Champions of AI
Disifatkan oleh EnterpriseSG sebagai inisiatif AI utama negara, program itu akan dimulakan dengan penyertaan 24 syarikat daripada pelbagai industri, sebelum diperluas secara berperingkat kepada lebih banyak syarikat.
Antara syarikat setempat terkenal yang menyertai program tersebut ialah DBS, OCBC, UOB, ST Engineering, Seatrium, PSA International, Singapore Airlines, Singtel Singapore, Keppel dan Sembcorp.
EnterpriseSG akan bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat itu untuk membangunkan pelan hala tuju transformasi AI jangka panjang yang disesuaikan mengikut keperluan masing-masing.
2. Bengkel AI berautonomi bagi SME
Inisiatif kedua ialah siri bengkel AI berautonomi (agentic AI) yang menyediakan panduan praktikal kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk menerima serta memperluas penggunaan penyelesaian AI.
AI berautonomi merujuk kepada sistem AI yang mampu mencapai matlamat tertentu dengan pengawasan yang minimum. Sistem itu terdiri daripada ejen AI, iaitu model pembelajaran mesin yang meniru proses membuat keputusan manusia untuk menyelesaikan masalah secara masa nyata.
Bengkel-bengkel itu akan membantu usahawan mikro dan pemilik perniagaan kecil memulakan penggunaan AI, mengenal pasti aplikasi praktikal serta membangunkan prototaip yang boleh digunakan dan disesuaikan dengan keperluan perniagaan masing-masing.
3. Penyelesaian AI Pemangkin
Inisiatif ketiga, yang dinamakan Catalytic AI Solutions, bertujuan memperluas penggunaan AI di seluruh sektor, bermula dengan sektor pembuatan termaju, perdagangan dan logistik.
Inisiatif itu akan membantu pengeluar termaju menangani cabaran operasi utama dan menambah baik aliran kerja.
4. MARVEL-AI untuk percepat inovasi bahan termaju
Mungkin inisiatif yang paling bercita-cita tinggi antara keempat-empat inisiatif itu ialah MARVEL-AI, singkatan bagi Accelerating Advanced Materials Innovation through AI and Automation (Mempercepat Inovasi Bahan Termaju melalui AI dan Automasi).
Bahan termaju ialah bahan yang direka bentuk, diubah suai atau dicipta secara khusus untuk menghasilkan sifat fizikal dan kimia baharu atau yang jauh lebih baik.
Penggunaan bahan tersebut juga membolehkan pencapaian inovasi yang tidak mungkin direalisasikan dengan menggunakan bahan konvensional.