Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S'pura, Laos pertingkat kerjasama dalam bidang baru

PM Laos lawat S'pura temui Presiden Halimah, PM Lee
Sep 29, 2022 | 5:30 AM
PERTEMUAN DUA PEMIMPIN: Presiden Halimah Yacob bertemu dengan Perdana Menteri Laos, Dr Phankham Viphavanh, di Istana semalam, dengan mereka membincangkan, antara lain, mengenai kerjasama dalam bidang baru seperti tenaga boleh diperbaharui dan kepentingan pembangunan modal insan. - Foto-foto BH oleh KEVIN LIM
PERTEMUAN DUA PEMIMPIN: Presiden Halimah Yacob bertemu dengan Perdana Menteri Laos, Dr Phankham Viphavanh, di Istana semalam, dengan mereka membincangkan, antara lain, mengenai kerjasama dalam bidang baru seperti tenaga boleh diperbaharui dan kepentingan pembangunan modal insan. - Foto-foto BH oleh KEVIN LIM -

PEMIMPIN Singapura dan Perdana Menteri Laos, Dr Phankham Viphavanh, mengesahkan hubungan mesra antara Singapura dengan Laos, dengan kedua-dua negara itu sedang mempertingkatkan kerjasama dalam bidang baru seperti tenaga.

Berucap di majlis makan tengah hari rasmi bagi Dr Phankham di Istana semalam, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura dan Laos juga sedang bekerjasama dalam bidang kemampanan dan perlindungan sekitaran, dan boleh melakukan lebih banyak lagi bersama dalam bidang lain seperti perancangan bandar dan logistik.

Sementara itu, Presiden Halimah Yacob dalam catatan Facebooknya semalam berkata beliau dan Dr Phankham telah berbincang mengenai kepentingan pembangunan modal insan, terutamanya dalam mengharungi cabaran norma baru.

Dr Phankham berada di Singapura selama dua hari sehingga semalam bagi lawatan rasmi pertamanya ke Singapura atas undangan Encik Lee.

Semalam, Singapura dan Laos menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Kerjasama Tenaga untuk memperkukuh lagi kerjasama tenaga dua hala.

Encik Lee berkata sedang Singapura dan Laos menanti-nantikan sambutan ulang tahun hubungan diplomatik ke-50 tahun pada 2024, kedua-dua negara itu sedang mempertingkat kerjasama dalam bidang baru.

Pada Jun lalu, mereka telah memulakan Projek Penyepaduan Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura,yang merupakan projek mengimport tenaga boleh diperbaharui pertama Singapura untuk membawa masuk sehingga 100 megawatt elektrik dari Laos.

Selain MOU mengenai Kerjasama Tenaga yang ditandatangani itu, Singapura dan Laos juga telah memperbaharui MOU mengenai Perlindungan Sekitaran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Sumber Air.

"Ini akan mempermudahkan pertukaran bersama pengetahuan dan kepakaran dan mewujudkan peluang pertumbuhan hijau bagi perniagaan kita.

"Berhubung bidang digital, kami sedang meningkatkan pertukaran dan memperdalam kerjasama dua hala," kata Encik Lee.

Encik Lee berkata sebagai negara kecil, Singapura dan Laos berkongsi kepentingan dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, dan menegakkan sistem pelbagai hala yang terbuka dan inklusif serta berasaskan peraturan.

Beliau menambah kedua-dua negara itu juga memberi penekanan besar pada pembangunan modal insan dan pertukaran antara rakyat.

Melalui Program Kerjasama Singapura yang diadakan sejak 30 tahun lalu, negara ini telah menjadi hos kepada lebih 15,000 pegawai Laos. Singapura juga telah menyambut kedatangan pelajar Laos untuk belajar di sini di bawah biasiswa Asean.

Memandang ke hadapan, Encik Lee berkata Singapura menyokong persiapan Laos menyandang tanggungjawab sebagai pengerusi Asean pada 2024, dan rasa gembira dua negara itu akan melaksanakan Pakej Kerjasama Dipertingkat Singapura-Laos.

Pakej itu akan merangkumi program pembangunan keupayaan yang menjurus ke arah menyokong peranan pengerusi Asean Laos.

Dr Phankham, dalam ucapannya, pula berkata beliau dan Encik Lee telah bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu kepentingan bersama dan bersetuju sebulat suara mengenai hala tuju masa depan kerjasama dua hala yang meliputi pelbagai bidang yang saling memberi manfaat kepada satu sama lain.

Beliau turut menyarankan agar Singapura dan Laos terus mengadakan pertukaran kerap lawatan delegasi peringkat tinggi dan hubungan antara rakyat untuk mempromosi perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara dua negara itu.

"Tambahan pula, saya amat berharap lawatan saya juga akan menyumbang kepada mengukuhkan lagi hubungan mesra yang sedia terjalin dan kerjasama baik antara kedua-dua negara kita ke tahap baru," kata beliau.

Puan Halimah, yang bertemu dengan Dr Phankham di Istana semalam, berkata Singapura kekal komited dalam menyokong usaha pembangunan keupayaan Laos.

"Kami juga bersetuju memperdalami hubungan antara rakyat untuk menggalak persefahaman antara budaya, membina jambatan, dan membuka peluang baru bagi kedua-dua rakyat kita," kata beliau di Facebook.

"Singapura dan Laos mempunyai persahabatan mesra dan lama. Sebagai negara kecil, kita berkongsi kepentingan dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, dan menegakkan sistem pelbagai hala yang terbuka dan inklusif, dan berdasarkan peraturan. Kedua-dua kita memberikan penekanan besar pada pembangunan modal insan dan pertukaran antara rakyat."

- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

"Meskipun adanya pandemik Covid-19, kita telah meningkatkan kerjasama dalam bidang baru seperti tenaga boleh diperbaharui dan kemampanan. Perdana Menteri Phankham dan saya juga membincangkan kepentingan pembangunan modal insan, terutamanya untuk mengharungi cabaran norma baru. Singapura kekal komited untuk menyokong usaha pembangunan keupayaan Laos. Kami juga bersetuju memperdalami hubungan antara rakyat untuk menggalak persefahaman antara budaya, membina jambatan, dan membuka peluang baru bagi kedua-dua rakyat kita."

- Presiden Halimah Yacob.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg