KEGIATAN menawarkan khidmat perkongsian kereta kini dilarang setelah Kementerian Pengangkutan (MOT) memansuhkan undang-undang yang membolehkan pemandu berbuat demikian dalam keadaan tertentu.
Mereka yang didapati menawarkan khidmat 'carpooling' atau perkongsian kereta itu boleh didenda sehingga $10,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya di bawah satu peraturan baru yang berkuat kuasa pada Khamis (16 April) bagi mengekang penularan virus Covid-19 di sini. Menurut satu tinjauan The Straits Times (ST), pengendali khidmat perkongsian kereta komersial dan juga kumpulan lain telah menghentikan semua perkhidmatan menumpang kenderaan semasa wabak Covid-19.
Ini termasuk kumpulan kiriman mesej atau 'chat group' SG Hitch, yang mempunyai 56,000 anggota. Pentadbir kumpulan itu telah melarang semua anggotanya daripada menghantar mesej dan telah memadamkan semua permintaan khidmat tperkongsian kereta kereta.
Pemandu dianggap berkongsi kereta jika menggunakan kereta sendiri dan mengenakan bayaran ke atas orang yang menumpang kereta itu, sama ada dari satu atau dari beberapa lokasi.
Kegiatan itu sebelum ini telah dibenarkan selagi pemandu meraih pendapatan yang menampung kos perjalanan. Mereka juga tidak dibenarkan menawarkan lebih dari dua perjalanan sehari.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Rabu lalu berkata pihaknya telah menganggap kongsi kereta sebagai perkhidmatan tidak penting, setelah berunding dengan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg