Antalya, Turkiye: Singapura telah memeterai satu lagi perjanjian perdagangan karbon, kali ini dengan Zambia, sempena Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP31, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan perjanjian seumpama itu yang dimeterai negara ini sebanyak 14.

Perjanjian pelaksanaan itu ditandatangani pada 18 November oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, bersama Menteri Ekonomi Hijau dan Sekitaran Zambia, Encik Gilbert Siame, di Pavilion Singapura semasa persidangan COP31 yang sedang berlangsung di Antalya, Turkiye.

Ini merupakan perjanjian pelaksanaan kedua yang ditandatangani Singapura semasa sidang puncak itu. Perjanjian serupa turut dimeterai dengan Kenya pada 16 November.

Perjanjian tersebut membuka laluan bagi pemerintah Singapura dan syarikat-syarikat di negara ini yang tertakluk kepada cukai karbon untuk membeli kredit karbon yang layak daripada Zambia, sebuah negara di selatan Afrika yang tidak mempunyai akses ke laut, bagi mengimbangi sebahagian daripada pelepasan gas rumah hijau mereka.

Di bawah rangka kerja cukai karbon Singapura, syarikat boleh menggunakan kredit karbon berkenaan untuk mengurangkan sehingga 5 peratus daripada bil cukai karbon mereka.

Setiap kredit karbon mewakili satu tan karbon dioksida yang berjaya dielakkan daripada dilepaskan ke atmosfera, misalnya melalui usaha melindungi hutan daripada pembalakan, atau disingkirkan daripada atmosfera, seperti melalui penggunaan loji penangkapan karbon secara langsung dari udara.

Menurut Encik Siame semasa majlis menandatangani perjanjian itu, sumber kredit karbon yang berpotensi di Zambia termasuk projek berkaitan perlindungan hutan, amalan pertanian yang lebih baik serta usaha pengurusan kebakaran.

Cik Fu berkata Zambia telah mencapai kemajuan ketara dalam membangunkan prasarana yang diperlukan bagi membolehkan perdagangan kredit karbon dijalankan.

Beliau berkata Zambia melancarkan daftar karbon nasionalnya dan memberi kelulusan kepada dua projek karbon pertamanya bersama Switzerland pada Ogos lalu.

Salah satu projek itu bertujuan mengagihkan lebih 160,000 dapur memasak cekap bahan api kepada isi rumah, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan mutu kehidupan harian penduduk.

Satu lagi projek melibatkan penggantian arang kayu sebagai bahan api memasak dengan pelet biojisim yang dihasilkan daripada sisa kayu daripada sumber mampan, menurut laman web PBB.

Cik Fu berkata pasaran karbon juga boleh membantu menyalurkan modal sektor swasta kepada negara membangun yang menjadi tuan rumah kepada projek-projek kemampanan.

Melalui rangka kerja cukai karbon Singapura, misalnya, syarikat boleh menyokong projek bermutu tinggi di Zambia yang mengurangkan pelepasan karbon, sambil membawa manfaat kepada masyarakat setempat.

Sebahagian daripada hasil yang diperoleh daripada pembelian kredit karbon itu juga akan disalurkan bagi membantu masyarakat di Zambia menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, tambah beliau.

Pasaran karbon turut berpotensi menarik pelaburan baru, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran dalam sektor rendah karbon di Zambia, kata Cik Fu.

Di bawah Perjanjian Paris, yang bertujuan mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius berbanding paras sebelum era perindustrian, negara-negara boleh membeli kredit karbon yang dihasilkan di negara lain, selagi manfaat iklim yang diperoleh tidak dikira dua kali oleh negara pengeluar dan negara pembeli.

Perjanjian pelaksanaan, yang merupakan dokumen mengikat di sisi undang-undang bagi mengawal pemindahan kredit karbon antara dua negara, membantu mencegah pengiraan berganda sedemikian.

Antara negara lain yang telah memeterai perjanjian seumpama itu dengan Singapura termasuk Thailand, Chile dan Mongolia.