SINGAPURA dan Malaysia bersetuju untuk melanjutkan penggantungan tempoh projek rangkaian Laluan Sistem Transit Laju (RTS) untuk tiga bulan lagi, sehingga 31 Julai ini.
Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Malaysia dan Pemutus Rantaian Jangkitan yang dilaksanakan di sini telah menjejas rentak perbincangan.
"Seperti Malaysia, kami optimistik bahawa perbincangan berkenaan perkara-perkara yang masih belum dibincangkan dapat dimuktamadkan dalam masa tiga bulan, menggunakan sidang vido dan lain-lain kaedah perhubungan.
"Tugas kami adalah untuk memuktamadkan kesemua tiga persetujuan menurut masanya, agar ia boleh ditandatangani pada 31 Julai 2020. MOT, LTA (Penguasa Pengangkutan Darat), dan SMRT akan menghubungi rakan kerja mereka di Malaysia untuk merumuskan perbincangan dengan pantas, memandangkan ini adalah lanjutan terakhir," kata MOT dalam kenyataannya.
Tiga perjanjian itu merujuk kepada Perjanjian Dua Hala Rangkaian RTS antara Dua Pemerintah; Perjanjian Usaha Sama antara SMRT Corporation, Singapura dan Prasarana Malaysia Berhad, Malaysia, untuk pembentukan satu usahasama Syarikat Pengendali atau "OpCo", dan; satu Perjanjian Konsesi bagi dua Pemerintah untuk melantik OpCo ini sebagai pengendali RTS Link.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg