
SINGAPURA dan Malaysia menandatangani tiga perjanjian dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam ekonomi hijau dan digital serta bidang keselamatan siber hari ini. Acara menandatangani tiga perjanjian itu diadakan di Istana dan disaksikan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Anwar berada di Singapura hari ini bagi satu lawatan rasmi - lawatannya yang pertama ke negara ini sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada 24 November lalu. Beliau ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, dalam lawatannya ke sini. Berucap di majlis jamuan tengah hari rasmi bagi Datuk Anwar tadi, Encik Lee berkata sebagai sahabat dan jiran rapat, "takdir Singapura dan Malaysia saling berkait". "Apabila kita bekerjasama secara membina, kita memberikan hasil yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak dengan manfaat ketara untuk rakyat dan perniagaan kita. "Saya yakin bahawa dengan sokongan Perdana Menteri Anwar, hubungan Singapura-Malaysia boleh mencapai tahap yang lebih tinggi," kata beliau. Encik Lee menambah beliau dan Datuk Anwar telah mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil awal sebelum jamuan tengah hari itu, termasuk cara bagi Singapura dan Malaysia membuat kemajuan mengenai isu dua hala yang tertunggak. Datuk Anwar dalam ucapannya pula berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang bermakna bersama Encik Lee, sambil menambah isu yang dibincangkan bukanlah "klise diplomatik biasa" dan "tentunya isu tertunggak yang lebih menimbulkan perbalahan". Namun, beliau berkata Singapura dan Malaysia harus terus berusaha mempertingkat hubungan dua hala dan "tiada isu akan dibiarkan tanpa diselesaikan". Beliau menambah bahawa kedua-dua negara itu juga boleh memberi tumpuan pada bidang baru seperti jaminan makanan. "Ini satu bidang yang saya fikir kami akan meminta sokongan Singapura untuk memanfaatkan Malaysia sebagai nadi demi manfaat Malaysia dan Singapura," kata beliau. Datuk Anwar turut memberi jaminan bahawa Singapura dan Malaysia boleh bekerjasama dalam apa jua bidang demi kepentingan kedua-dua negara, dan beliau percaya tidak harus ada kebimbangan dalam apa sahaja bidang yang boleh dipelajari dari Malaysia mahupun Singapura. Ini termasuk isu perumahan, yang menjadi "sedikit kontroversi" baru-baru ini selepas kerajaan Malaysia mengumumkan rancangan mengundang pakar dari negara lain, termasuk Singapura, untuk mempertingkat dasar perumahan Malaysia. "Apa yang mampu, kita pelajari dan kita timba pengalaman bersama," kata beliau. Antara perjanjian yang ditandatangani antara Singapura dan Malaysia hari ini ialah Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi Hijau yang akan menyaksikan kedua-dua negara itu memperkukuh kerjasama untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam industri dan membolehkan perniagaan serta pekerja kedua-dua negara merebut peluang dalam ekonomi hijau. Perjanjian ekonomi hijau itu ditandatangani Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perusahaan Malaysia, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz. Encik Gan dan Datuk Tengku Zafrul turut menandatangani rangka kerja kerjasama dalam ekonomi digital, di mana Singapura dan Malaysia akan bekerjasama untuk menyediakan peluang pertumbuhan baru dalam ekonomi digital yang akan memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan masyarakat kedua-dua negara. Sementara itu, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, dan Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Encik Fahmi Fadzil, pula menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg