SINGAPURA akan memansuhkan semua baki sekatan Covid-19 seperti memakai pelitup di dalam pengangkutan awam mulai Isnin, sedang negara ini menurunkan respons penularan penyakit ke tahap terendah.
Mengumumkannya di satu sidang media di Pusat Akhbar Nasional di bangunan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 berkata langkah menurunkan Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) daripada kuning kepada hijau itu antara lain diambil di tengah-tengah situasi pandemik setempat dan sedunia yang stabil.
Malah, ia juga tidak menyebabkan banyak gangguan kepada keupayaan penjagaan kesihatan dan kehidupan harian warga.
MTF yang menerajui respons Singapura terhadap Covid-19 juga akan dibubarkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama MTF, di sidang media terakhir pasukan itu semalam.
Sementara ini merupakan langkah besar yang menandakan bermulanya norma baru endemik Covid-19, Encik Wong berkata norma baru ini tidak statik dan pemerintah akan terus memantau keadaan serta mengambil tindakan tertentu jika perlu.
"Kami akan terus meneliti situasi Covid-19 yang berubah-ubah walaupun dalam keadaan Dorscon hijau... dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan terus memantau keupayaan penjagaan kesihatannya.
"Sekiranya terdapat varian baru dan berbahaya atau keupayaan penjagaan kesihatan kita terjejas, kita mungkin perlu menyemak tahap Dorscon.
"Kita mungkin perlu melaksana semula langkah masyarakat dan sempadan serta struktur pengurusan krisis berbilang agensi seperti MTF.
"Kami harap ini tidak akan berlaku lagi tetapi kita perlu bersedia secara mental bagi kemungkinan itu dan jika ia berlaku, kami mohon sokongan semua orang untuk bersatu seperti yang telah kami lakukan sepanjang tiga tahun lalu," ujarnya.
Langkah terkini itu diumumkan lebih tiga tahun selepas Singapura mengesan kes koronavirus pertamanya.
Sementara pemakaian pelitup dalam pengangkutan awam serta sekitaran penjagaan kesihatan tertutup tidak lagi diperlukan di bawah peraturan Covid-19 sementara, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama MTF, berkata pemakaian pelitup mungkin boleh menjadi keperluan mengikut sektor atau industri.
Sebagai contoh, MOH masih memerlukan pelawat, kakitangan dan pesakit memakai pelitup di sekitaran penjagaan kesihatan seperti wad hospital, klinik dan rumah jagaan.
"Ini akan melindungi pesakit dan pekerja penjagaan kesihatan daripada penyakit berjangkit dan bukan sahaja Covid-19, dengan lebih baik," ujarnya.
Encik Gan juga berkata Agensi Makanan Singapura (SFA) akan terus memerlukan pengendali makanan memakai pelitup atau pelindung percikan cecair.
Tambahnya, perusahaan dan industri lain juga boleh terus mengenakan langkah pemakaian pelitup bagi tujuan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja atau sebagai sebahagian pelan kesinambungan perniagaan (BCP).
Dalam suasana Dorscon hijau, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga pengerusi bersama MTF berkata langkah bergerak ke arah norma baru dan hidup dengan Covid-19 sebagai endemik antara lain melibatkan usaha memansuhkan semua langkah sempadan dan pengurusan selamat, selain menangani Covid-19 secara rutin sebagai penyakit biasa.
"Oleh itu, saya meminta orang ramai memahami bahawa kita juga perlu beralih... kembali ke norma lama pembiayaan dan kami tidak boleh terus dengan subsidi 100 peratus," ujarnya.
Ini bermakna rawatan bagi Covid-19 tidak akan diberi subsidi sepenuhnya lagi dan pesakit juga perlu membayar bagi ujian Covid-19.
Encik Ong bagaimanapun memberi jaminan bahawa bantuan kewangan akan sentiasa disediakan buat warga Singapura yang berpendapatan rendah untuk membantu dengan bil hospital mereka.
Encik Wong juga menarik perhatian bahawa Semakan Selepas Tindakan (AAR) berhubung respons pemerintah terhadap Covid-19 akan diterbitkan tidak lama lagi dan dibahaskan di Parlimen.
"Laporan itu bukan bertujuan mengucapkan tahniah kepada diri kita sendiri tetapi bertujuan mengambil pandangan objektif terhadap apa yang telah berlaku sepanjang tiga tahun lalu," ujarnya.
Sedang Singapura kini telah memansuhkan semua sekatan Covid-19 dan kini berada dalam keadaan Dorscon hijau, Encik Ong berkata ini tidak bermakna tahap amaran dan persiapan negara sudah berakhir.
Tambahnya, Singapura harus bersedia bagi varian membimbangkan atau pandemik seterusnya, khususnya bagi sektor penjagaan kesihatan.
"Bagi MOH, kami kini berada dalam kedudukan 'senang diri' tetapi belum 'keluar baris'," ujar Encik Ong yang menggunakan istilah tentera untuk mencerminkan pendekatan kementeriannya itu sekarang.
SALING SOKONG; S'PURA BERDAYA TAHAN SEBAGAI SEBUAH RAKYAT
"Usaha menangani pandemik ini melibatkan kerja keras yang mengambil masa yang lama, dengan banyak situasi yang tidak diduga. Krisis generasi ini telah benar-benar menjejas kehidupan kita dan mengubah dunia. Namun bersatu, kita dapat mengharungi pandemik ini dengan selamat... Kita tidak mungkin dapat mencapai tahap ini tanpa kerja keras dan pengorbanan pekerja perubatan dan pekerja barisan depan kita. Kita amat terhutang budi kepada mereka. Namun, semua orang yang terlibat - daripada MTF kepada penduduk yang mengambil berat tentang jirannya - telah menyumbang kepada usaha ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana yakin akan kebaikan bagi manfaat lebih besar dan mematuhi dengan langkah pengurusan selamat yang sukar namun diperlukan. Kita saling menyokong dan yakin dengan satu sama lain sepanjang perjalanan ini dan telah bangkit lebih kukuh serta berdaya tahan sebagai satu rakyat. Ini satu pencapaian yang diperoleh dengan satu usaha yang besar." - Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg