Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura, Pahang teroka kerjasama dalam bidang kepentingan bersama
S’pura, Pahang teroka kerjasama dalam bidang kepentingan bersama
S’pura, Pahang teroka kerjasama dalam bidang kepentingan bersama
Singapura dan Pahang bersetuju meneroka peluang kerjasama, contohnya dengan mengukuhkan hubungan perniagaan, kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Jurucakap PMO berkata, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, bertemu pada 5 Mei, dan mengesahkan hubungan mesra dan lama yang terjalin di antara mereka.
“Mereka melihat keadaan positif hubungan dua hala dan bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, termasuk mengukuhkan hubungan perniagaan,” tambah jurucakap itu.
Encik Lee sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Pahang disusuli Terengganu dari 4 hingga 8 Mei.
Beliau berada di Pahang atas undangan Sultan Abdullah yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16 dari 2019 hingga 2024.
Pada 5 Mei, Encik Lee dan isterinya Cik Lee telah mengadap Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di bandar Kuantan, bersama isteri Sultan, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Encik Lee turut menikmati jamuan santapan tengah hari di Istana Abdulaziz yang dihoskan oleh Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
Turut hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (Pelaburan, Perindustrian, Teknologi dan Inovasi), Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Semasa kunjungan itu, Encik Lee ditemani Cik Lee; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Anggota Parlimen (AP) Cik Joan Pereira; dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Encik Vanu Gopala Menon.
Pada lewat petang pula, Encik Lee berjalan di sepanjang Jalan Seni Kuantan (Kuantan Art Street) sebelum melawat Menara Kuantan 188.
Di Menara itu, Encik Lee disambut meriah dengan paluan gendang.
Menara Kuantan 188 ialah sebuah menara pemerhatian setinggi 188 meter dan merupakan struktur tertinggi di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di tebing Sungai Kuantan.
Jalan Seni Kuantan, yang terletak berhampiran menara tersebut, mempamerkan seni dan budaya tempatan oleh sekumpulan artis yang berpangkalan di Pahang.
Encik Lee dijangka bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dan pemimpin negeri yang lain pada 6 Mei.
