Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura pandang serius ancaman terhadap keharmonian kaum di media sosial
S’pura pandang serius ancaman terhadap keharmonian kaum di media sosial
S’pura pandang serius ancaman terhadap keharmonian kaum di media sosial
Pemerintah Singapura mengambil serius akan sebarang ancaman terhadap perpaduan sosial dan keharmonian kaum di Singapura yang dikesan dalam platform media sosial.
Mereka akan terus memantau platform tersebut dengan teliti, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah-langkah lanjut demi kepentingan Singapura.
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, berkata demikian di Balai Rakyat Siglap South pada 6 Jun, susulan hantaran kandungan dan video dikatakan dari China, yang menghina masyarakat India dan menggugat model masyarakat berbilang kaum Singapura.
“Video tersebut menyerang asas utama yang menjadikan Singapura sebagai rumah untuk kita semua.
“Ia melemahkan dasar masyarakat kita sendiri.
“Kandungan tersebut mencerminkan agenda pihak-pihak yang berniat untuk memecahbelahkan kita sebagai satu negara.
“Oleh itu, kita mesti bertindak tegas dan menolak sebarang percubaan daripada mereka yang ingin menyebabkan kemudaratan kepada kita.
“Sesuatu perlu dilakukan mengenainya, terutamanya apabila ia berasal daripada sumber asing.”
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) turut menyatakan bahawa Singapura dengan tegas menolak fahaman nativisme atau kebumiputeraan, dan xenofobia, iaitu perasaan sangat takut atau benci terhadap warga asing.
Sebarang cubaan untuk melaga-lagakan antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain di negara ini mesti ditolak sama sekali.
Justeru, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengeluarkan Arahan Memansuhkan (DD) di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) 2023 kepada Google, Meta dan X supaya mengambil semua langkah yang munasabah untuk menyekat akses kepada hantaran tersebut di Singapura.
Pada masa yang sama, Encik Tong menambah rakyat Singapura juga harus bijak dan berhati-hati dengan apa yang mereka tonton dan baca dalam talian.
“Kita harus mempersoalkan sumber atau niat video tersebut dan tidak menyebarkannya jika ia boleh menjejaskan fabrik sosial atau keharmonian sosial kita,” tegas beliau. – Amirul Ibrahim
