S’pura perketat keselamatan siber ‘router’ kediaman jelang akhir 2027
S’pura perketat keselamatan siber ‘router’ kediaman jelang akhir 2027
Pemerintah akan mengambil langkah bagi memperkukuhkan keselamatan peranti digital dengan meningkatkan keperluan keselamatan siber bagi penghala atau router kediaman yang dijual di Singapura menjelang penghujung 2027.
Ia melibatkan peningkatan tahap Skim Pelabelan Keselamatan Siber (CLS) kepada tahap lebih tinggi, kata Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.
Penghala merupakan peranti yang menerima maklumat Internet dan menghantarnya ke peranti seterusnya, berdasarkan alamat destinasi.
Buat masa ini, tahap CLS bagi penghala kediaman yang dijual di Singapura harus memenuhi keperluan CLS Tahap 1, yang antara lain, meliputi penetapan kata laluan unik, dan dianggap sebagai tahap asas.
Lantaran itu, beliau mendedahkan tahap tersebut bagi penghala kediaman akan dipertingkatkan kepada CLS Tahap 2.
Terdapat empat tahap CLS, dengan Tahap 2 adalah piawaian yang lebih diperketat.
Semasa membentangkan usulan tersebut dalam perbahasan Jawatan Perbekalan (COS) Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di Parlimen pada 2 Mac, Encik Tan berkata:
“Kami akan mempergiatkan usaha bagi memastikan produk digital yang dijual di Singapura mempunyai perlindungan keselamatan asas.
“Ini akan menjadikan produk tersebut lebih sukar untuk dikompromi.”
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang diajukan Encik Vikram Nair (GRC Sembawang) dan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi), yang masing-masing mengajukan soalan berkenaan kumpulan ancaman lanjut berulang (APT) dan rancangan pemerintah bagi melindungi Prasarana Maklumat Kritikal (CII).
Kenyataan tersebut dibuat berlatarbelakangkan serangan siber terhadap prasarana kritikal negara pada Mac 2025 oleh APT UNC 3886.
Buat masa ini keadaan masih terkawal, dengan langkah pertahanan dilakukan bagi menutup laluan masuk UNC 3886, selain memperluas pengawasan ke atas syarikat telekomunikasi yang menjadi sasarannya, kata pihak berkuasa di Singapura.
Encik Tan berkata pemerintah mendapati pelaku menggunakan teknik yang lebih maju untuk mengeksploitasikan penghala kediaman.
Selain penghala kediaman, kamera Protokol Internet (IP) merupakan satu lagi peranti yang sedang dikaji Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) bagi meningkatkan tahap CLS daripada CLS Tahap 1 kepada CLS Tahap 2.
Menurutnya, pelaku seringkali memanfaatkan kamera sedemikian untuk mengintip mangsa dengan ada kalanya, gambar atau video yang diambil telah dimuat naik ke laman web lucah, atau menggunakannya untuk memeras ugut mangsa.
“CSA akan terus memantau dan menyemak sama ada lebih banyak peranti digital diperlukan untuk memenuhi piawaian keselamatan siber minimum,” kata Encik Tan.
Dalam satu kenyataan bersama CSA dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 2 Mac, ia menyatakan sehingga pertengahan Februari, sekitar 870 produk telah meraih label CLS.
Sehubungan itu, beliau berkata pemerintah akan bekerjasama dengan pemilik CII untuk menguji teknologi baru.
Ini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi perlindungan siber, di tengah-tengah ancaman digital yang kian berkembang.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan berasingan Encik Sharael berkenaan ancaman ejen AI autonomi.
Oleh demikian, Encik Tan berkata ini akan membantu pemilik CII “meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi keselamatan siber”.
Bagi membantu mereka dalam aspek ini, pemilik CII akan dilengkapi dengan sistem pengesanan ancaman hak milik tunggal, untuk memperkukuh keupayaan pemantauan ancaman dan tindak balas kejadian tersebut, ujarnya.
Selain itu, pemerintah juga akan menyemak skop piawaian keselamatan siber dan tuntutan pemilik CII, yang berpotensi merangkumi sistem bukan CII, kata CSA dalam kenyataan berasingan pada 2 Mac.
Agensi itu meminta pemilik CII, juruaudit CII dan penyedia perkhidmatan keselamatan siber yang berlesen agar menepati keperluan Tanda Kepercayaan Siber (CTM).
Pemilik CII akan diberi tempoh penangguhan selama dua tahun iaitu menjelang akhir 2027, untuk mendapatkan CTM Tahap 5, peringkat tertinggi pensijilan, untuk sistem bukan CII di bawah kawalannya yang menyokong operasi/perkhidmatan perniagaan syarikat.

