Topic followed successfully
Go to BHkuS'pura perlu bina ekosistem sokongan kukuh untuk kurangkan kadar bentan
S'pura perlu bina ekosistem sokongan kukuh untuk kurangkan kadar bentan
S'pura perlu bina ekosistem sokongan kukuh untuk kurangkan kadar bentan
TUMPUAN Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan projek Reben Kuning ialah menghasilkan kejayaan jangka panjang membantu bekas pesalah, sedang pemerintah berusaha mengurangkan kadar kebentanan.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata manakala kadar kebentanan tempoh dua tahun kekal rendah sekitar 20 peratus, ia mencapai sekitar 40 peratus bagi tempoh lima tahun.
"Mengurangkan kadar kebentanan lima tahun ini memerlukan ekosistem sokongan yang mampan dan lebih selaras.
"Oleh itu, adalah penting untuk kita membina ekosistem yang kukuh dan mampan dalam masyarakat untuk membantu bekas pesalah berhenti melakukan kesalahan semula dan menjadi warga yang menyumbang.
"Ini memerlukan sokongan padu daripada rakan kongsi masyarakat - seperti majikan, agensi perkhidmatan sosial, sukarelawan dan banyak lagi," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Persidangan Persatuan Pemulihan dan Penjara Antarabangsa (ICPA), yang diadakan di Orlando, Florida, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Dr Faishal berkata pemerintah akan terus memberi tumpuan dalam beberapa perkara, dalam usaha menggembleng masyarakat untuk membantu bekas pesalah.
Ini termasuk bantuan mencari pekerjaan buat mereka agar mereka dapat berdikari, sekali gus mempertingkat mutu kehidupan.
SPS akan terus meluaskan kaedah pemulihan masyarakat, dan membangunkan ekosistem penjagaan lepas penjara yang bersepadu untuk menyokong perjalanan penyepaduan semula pesalah.
Pemerintah juga akan mengukuhkan tahap penerimaan dan sokongan masyarakat yang merupakan kunci utama dalam mempengaruhi kebentanan bekas pesalah.
"Melalui Projek Reben Kuning dan pelbagai inisiatif penggemblengan masyarakat, kami berharap dapat memupuk penerimaan masyarakat terhadap bekas pesalah dan membangun rangkaian perkhidmatan sokongan bersepadu dalam kalangan orang ramai, sektor swasta dan awam untuk membantu pemulihan dan penyepaduan semula bekas pesalah," katanya.
Persidangan tahunan ICPA ini dihadiri lebih 400 karyawan dan pakar dari seluruh dunia, mewakili agensi pemulihan pemerintah serta institusi akademik dan kerja sosial.
Tema sidang kali ini ialah "Cemerlang Melampaui 'Normal Lama: Pemulihan Selepas Pandemik Global".
Dalam ucapannya, Dr Faishal turut mengetengahkan beberapa program dan usaha bernuansa budaya.
Ini termasuklah Kempen 'Dadah Itu Haram' (DIH) yang dapat menarik perhatian masyarakat Melayu - dengan slogan itu dalam bahasa Melayu dan menggunakan istilah 'Haram'.
"Kempen yang bermula sejak 2017 itu telah mendekati lebih 100,000 anggota masyarakat Melayu/Islam serta pelbagai tempat termasuk kedai gunting rambut, kedai makan, studio muzik, dan bengkel kenderaan.
"Dan kami bertuah kerana kesemua 71 masjid di Singapura menyertai kempen ini," katanya lagi.
Selain usaha menyediakan asas agama kukuh, yang boleh menjadi penting bagi individu untuk menjauhi kehidupan jenayah, terdapat juga usaha sokongan sosial kepada pesalah.
Bagi masyarakat Melayu/Islam, salah satu pertubuhan tersebut ialah Fitrah yang merupakan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga.
Ia ditubuhkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dengan kerjasama MHA dan SPS.
Pemerintah Singapura, kata Dr Faishal, juga bekerjasama rapat dengan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dalam membantu mencegah bekas pesalah melakukan kesalahan semula.
"MMO menjadi rakan kongsi berharga dalam menyebarkan mesej antidadah, menjalankan program pemulihan bagi pesalah, dan memberi sokongan kepada bekas pesalah dan keluarga mereka," tambahnya.
"Mengurangkan kadar kebentanan lima tahun ini memerlukan ekosistem sokongan yang mampan dan lebih selaras. Oleh itu, adalah penting untuk kita membina ekosistem yang kukuh dan mampan dalam masyarakat untuk membantu bekas pesalah berhenti melakukan kesalahan semula dan menjadi warga yang menyumbang." - Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

